KOTA BHARU: Semua Ahli gabungan perlu segera mengemukakan calon berwibawa bagi mengisi jawatan No.1 dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu bagi memulihkan semula keyakinan terhadap badan induk tersebut.
Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darulnaim (Kelate.net), Mohd. Nurul Mohd. Yusoff berkata, proses peralihan kepimpinan tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia memberi kesan langsung terhadap hala tuju pembangunan bola sepak negara.
Menurutnya, setiap gabungan negeri mempunyai tanggungjawab moral dan strategik untuk mencadangkan individu berintegriti, berpengalaman serta mempunyai visi jelas demi mengangkat semula martabat sukan nombor satu negara.
“Jawatan Presiden FAM bukan sekadar simbolik, tetapi penentu dasar, pembangunan akar umbi dan kestabilan liga profesional.
“Gabungan negeri tidak boleh berdiam diri. Mereka perlu segera berbincang dan mencalonkan individu yang benar-benar layak serta bebas daripada sebarang isu integriti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Nurul memberitahu, kelewatan menentukan kepimpinan baharu hanya akan menjejaskan perancangan jangka panjang termasuk aspek tajaan, pembangunan bakat muda dan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Beliau turut menekankan bahawa suara penyokong mahukan perubahan progresif dan kepimpinan yang lebih telus serta mesra komuniti bola sepak.
“Kita mahu presiden yang bukan sahaja memahami pentadbiran, tetapi turut mendengar suara penyokong dan menghormati peranan kelab serta persatuan negeri.
“Bola sepak negara perlukan nafas baharu. Ini masa terbaik untuk melakukan pembaharuan secara menyeluruh,” ujarnya.
Tambah beliau, FAM harus kembali memberi keutamaan kepada pembangunan bakat akar umbi, kestabilan kewangan pasukan serta pemerkasaan liga domestik supaya mampu bersaing di peringkat Asia.
Katanya, Kelate.net sebagai wakil penyokong tegar di Kelantan menyokong penuh usaha reformasi demi memastikan bola sepak Malaysia kembali dihormati dan diyakini semua pihak.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, gabungan muka lama yang berpengalaman dengan tenaga baharu dianggap ramuan terbaik membentuk kepemimpinan FAM.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, meskipun ahli gabungan bebas membuat pilihan, gabungan muka baharu dan lama berpotensi membawa keseimbangan, menggabungkan pengalaman dengan idea segar serta visi baharu yang mampu memacu bola sepak negara ke hadapan. – UTUSAN










