LONDON: Bos Manchester United yang kini sedang dikritik hebat, Ruben Amorim seharusnya meninggalkan kelab itu secepat mungkin dan menamatkan tempoh perkhidmatannya yang dianggap ‘malapetaka’, menurut Jamie Carragher.
Legenda Liverpool itu percaya Amorim, yang membawa United ke tangga ke-15 musim lalu dan kini hanya di kedudukan ke-14, perlu berundur.
Kekalahan 3-1 kepada Brentford pada Sabtu lalu antara detik paling memalukan yang meningkatkan lagi tekanan terhadapnya.
“Saya rasa dia masih kekal sebagai pengurus kerana pihak atasan di United telah melakukan terlalu banyak kesilapan di dalam dan di luar padang dan mereka seolah-olah enggan mengaku bahawa mereka telah membuat satu lagi kesilapan.
“Ini merupakan satu bencana untuk United dan juga Amorim. Apa yang dia capai di Sporting Lisbon memang hebat dan dia dilihat sebagai pengurus muda yang berpotensi besar.
“Tetapi membawa masuk pengurus dengan sistem seperti itu tidak pernah sesuai dengan tradisi United dan lebih cepat kelab membuat keputusan tentang pengurus ini, lebih baik untuk semua pihak kerana ini bukan sahaja bencana untuk kelab tapi juga untuk Amorim sendiri.
“Kita semua hanya menunggu perkara yang tidak dapat dielakkan. Malangnya, tiada siapa suka lihat orang hilang kerja tetapi ini perlu ditamatkan secepat mungkin,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










