Amorim tolak ramalan Ferguson 

Amorim tolak ramalan Ferguson 

Alex Ferguson
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak bersetuju dengan kenyataan legenda kelab, Sir Alex Ferguson yang meramalkan The Red Devils mungkin memerlukan sehingga 10 atau 11 tahun lagi untuk kembali menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Ferguson yang membawa United menjulang 13 daripada 20 kejuaraan liga sebelum bersara pada 2013, menyamakan situasi semasa kelab itu dengan Liverpool pada era 1990-an yang menunggu lebih tiga dekad sebelum kembali bergelar juara liga.

Bagaimanapun, Amorim yakin penantian itu tidak akan selama sedekad, walaupun mengakui pengalaman Ferguson jauh mengatasi dirinya.

“Beliau lebih memahami bola sepak Inggeris berbanding saya, tetapi saya tidak fikir kami akan mengambil masa selama itu untuk memenangi liga,” katanya. 

Dalam pada itu, Amorim turut melontarkan kritikan keras terhadap sebahagian pemain United yang menurutnya memiliki ‘mentaliti berhak’, termasuk berani menentang kelab secara terbuka.

“Kami perlu melawan perasaan ini. Ada pemain yang lupa apa maknanya bermain untuk Manchester United. Pintu pejabat saya sentiasa terbuka, tetapi tiada siapa datang berbincang. Di sinilah masalah bermula,” katanya.

Kenyataan itu hadir susulan beberapa insiden melibatkan pemain muda serta tekanan daripada bekas legenda kelab, termasuk cadangan supaya pemain yang tidak beraksi meninggalkan United.

Amorim turut menegaskan bahawa dia tidak akan menghukum Kobbie Mainoo atas tindakan ahli keluarganya yang memakai baju-T bertulis ‘Free Kobbie Mainoo’, sambil menekankan pemilihan pemain adalah berdasarkan prestasi, bukan sentimen luar.

“Dia akan bermain jika layak, bukan kerana baju-T itu dan dia bermain dengan sangat baik,” tegas Amorim.

United terus bergelut mencari kestabilan, dengan Amorim mengakui banyak isu masih tertumpu di mejanya, sekali gus memberi bayangan bahawa perubahan budaya dalaman kelab perlu dilakukan segera jika United mahu kembali ke puncak bola sepak England. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN