Bertanding untuk berkhidmat, bukan kejar kuasa - Utusan Malaysia

Bertanding untuk berkhidmat, bukan kejar kuasa

SYED Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mangsa banjir di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sedia bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) untuk meneruskan khidmat kepada rakyat, bukannya mengejar kuasa politik.

Beliau berkata, penerimaan pengundi terhadap perkhidmatannya menjadi pertimbangan utama untuk terus menawarkan diri dan beliau bersedia berehat sekiranya khidmatnya tidak lagi diperlukan.

“Saya bukan bertanding untuk mendapatkan kuasa. Saya bertanding untuk memberi khidmat. Siapa mahu khidmat saya, saya tawarkan diri. Siapa tidak mahu, saya boleh berehat,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Terbuka Masjid Al Wusta di Bukit Gantang hari ini .

Menurut Syed Abu Hussin Hafiz, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai rekod perkhidmatan serta kemampuannya melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebelum menentukan pilihan.

“Lihat siapa boleh memberikan khidmat terbaik untuk anda undi. Kalau saya tidak boleh beri khidmat, jangan undi,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan bertanding sebagai calon Bebas atau menyertai parti baharu, beliau tidak menolak kemungkinan memilih laluan Bebas, namun enggan memperincikan pilihan politiknya.

Beliau turut berpandangan, parti-parti politik ketika ini semakin menumpukan kepentingan sendiri sehingga menjejaskan matlamat perjuangan dan usaha menyatukan masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, beliau mahu Perdana Menteri diberi mandat sepenggal lagi bagi meneruskan agenda pembangunan, pengukuhan ekonomi serta perpaduan negara di bawah kerajaan.

Katanya, usaha memperjuangkan kepentingan orang Melayu perlu turut melibatkan Perdana Menteri sebagai pemimpin yang mempunyai kuasa mentadbir negara, bukannya terbatas kepada kerjasama antara parti tertentu.

“Perdana Menteri Malaysia orang Melayu, Perdana Menteri yang mempunyai kuasa. Apakah tidak boleh panggil Perdana Menteri sekali untuk bersama?” katanya.

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata, setakat ini beliau tidak bercadang menghantar pasukan membantu kempen kerana mempersoalkan keperluan mengadakan pilihan raya ketika kerajaan negeri sudah mempunyai kedudukan kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini