Carrick mula rasa tekanan bersama Man. United

Carrick mula rasa tekanan bersama Man. United

Penyerang Manchester United, Matheus Cunha (kiri) cuba merembat bola ke gawang Fulham sebelum dihadang pertahanan lawan dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON:Tekanan terhadap Michael Carrick semakin memuncak selepas Manchester United sekadar seri 1-1 dengan Fulham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

The Red Devils hanya meraih satu kemenangan dalam lima perlawanan EPL setakat ini dan kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Mereka tewas tiga daripada tujuh aksi pertama dalam semua pertandingan musim ini dan memasuki rehat antarabangsa dengan Carrick menjadi perhatian serta menerima kritikan hebat.

Carrick sebelum ini menegaskan bahawa beliau tidak mengambil berat mengenai masa depannya di Old Trafford, namun selepas diikat Fulham era kepemimpinannya mula goyah.

Biarpun peminat mula mengkritik gaya permainan anak buahnya, Carrick menegaskan, terdapat petanda positif daripada keputusan seri itu yang menyelamatkan pasukannya daripada kekalahan ketiga berturut-turut.

“Kami mengawal sebahagian besar babak pertama ketika berdepan Fulham. Ini Liga Perdana Inggeris dan anda akan melalui fasa di mana anda tidak menguasai permainan sepenuhnya.

“Untuk mengharapkan penguasaan keseluruhan sepanjang perlawanan, saya berasa tiada siapa yang mendapat perkara itu dalam liga ini dan saya hanya menumpukan tugas saya bersama pasukan,” kata Carrick.

Selepas tewas kepada Manchester City dalam aksi EPL minggu lalu dan Brighton pada pusingan ketiga Piala Liga pertengahan minggu, skuad Carrick sekali lagi gagal meraih keputusan positif.

Hakikat bahawa mereka sekali lagi hampir tewas menggambarkan betapa kemerosotan yang sedang dialami United, namun Carrick cuba kekal positif dengan mendakwa United melakukan secukupnya untuk meraih tiga mata.

“Saya fikir kami sepatutnya memenangi perlawanan ini, kami mencipta peluang yang mencukupi untuk menang. Gol yang kami bolos itu adalah salah satu daripada mereka. Pemain mungkin boleh berfikir, tetapi saya suka reaksi mereka.

“Kami hampir memenanginya pada penghujung perlawanan. Sudah tentu kami datang untuk mendapatkan kemenangan dan berdasarkan bagaimana perlawanan berlangsung serta bagaimana kami menamatkannya, itu perkara positif yang boleh kami ambil daripada perlawanan ini.

“Saya fikir kami boleh mengambil banyak perkara daripada perlawanan ini. Saya juga fikir kami boleh belajar banyak perkara. Kami boleh menjadi lebih baik dalam aspek tertentu, itu sudah jelas, tetapi terdapat beberapa petanda yang baik hari ini,” katanya.

United akan kembali beraksi dengan perlawanan di laman sendiri menentang Tottenham yang menghuni tangga tercorot, 11 Oktober ini, dengan Carrick dan pengurus Spurs, Roberto De Zerbi sama-sama mengidamkan kemenangan yang mampu mengubah nasib pasukan masing-masing. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×