LONDON: Bekas pengendali England, Gareth Southgate, antara calon utama menggantikan Ruben Amorim jika pengurus Manchester United itu dipecat.
Amorim, 40, kini berdepan risiko dibuang selepas permulaan musim yang buruk semakin memuncak dengan kekalahan memalukan kepada kelab Liga Dua, Grimsby Town, menerusi penentuan penalti 12-11 dalam saingan Piala Liga, semalam.
Pengendali dari Portugal itu, mula berkerja di Old Trafford pada November lalu dalam usaha pemilik baharu United, Sir Jim Ratcliffe mengembalikan kegemilangan kelab.
Namun, selepas hanya sepuluh bulan berkhidmat, kedudukannya semakin goyah selepas pasukannya gagal sekali lagi.
Kekalahan kepada Grimsby iaitu kelab yang berada 56 tangga dan tiga divisyen di bawah United dalam liga, dianggap tamparan hebat yang boleh menamatkan tempoh perkhidmatannya.
Keadaan itu menyaksikan nama Southgate, 54, menjadi sebutan, malah dia kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak melepaskan jawatan sebagai pengurus England selepas kekalahan di final Euro 2024 kepada Sepanyol.
Dia kini disenaraikan sebagai pilihan utama untuk menjadi pengendali seterusnya di Old Trafford.
Kurang setahun lalu, Southgate hampir menjadi pengurus United namun ketika itu dia menolak jawatan berkenaan dan Ratcliffe memilih untuk melantik Amorim.
Selain Southgate, bekas pemain tengah United, Michael Carrick turut menjadi pilihan utama menggantikan Amorim.
Carrick, bekas pemain Tottenham, West Ham dan England, sebelum ini dianggap pengendali muda berpotensi ketika membimbing Middlesbrough, tetapi dipecat pada Jun lalu selepas prestasi merudum.
Namun, dia masih mempunyai penyokong kuat di Old Trafford kerana pernah menjadi penolong jurulatih di bawah Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer.
Carrick juga pernah menjadi pengendali sementara United pada tahun 2021, mencatat rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan dengan dua kemenangan termasuk kemenangan 3-2 ke atas Arsenal.
Selain itu, pengurus Crystal Palace, Oliver Glasner dan bekas pengendali Chelsea yang kini membimbing skuad kebangsaan lelaki Amerika Syarikat, Mauricio Pochettino, antara calon lain yang berpotensi mengambil alih United.
Bekas penolong jurulatih United yang kini mengendali Ipswich Town, Kieran McKenna juga berada dalam senarai.
Sementara itu, Zinedine Zidane (bekas pengendali Real Madrid), Marco Silva (Fulham), Andoni Iraola (Bournemouth) dan Xavi Hernandez (bekas Barcelona) juga berada dalam radar United. – AGENSI/UTUSAN










