LONDON: Pemilik bersama Manchester United, Jim Ratcliffe menegaskan pengendali pasukan, Ruben Amorim diberi masa tiga tahun untuk membuktikan kemampuannya di Old Trafford.
Amorim dilantik menggantikan Erik ten Hag November lalu atas pilihan peribadi Ratcliffe, namun setakat ini dia hanya mencatat 10 kemenangan daripada 34 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Musim lalu, United menamatkan saingan di tangga ke-15, pencapaian terburuk mereka sejak tersingkir pada musim 1973–74, dan turut gagal melayakkan diri ke pentas Eropah selepas tewas kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa.
Pun begitu, Ratcliffe tetap menaruh kepercayaannya terhadap Amorim dengan menyamakan situasi itu dengan era awal Sir Alex Ferguson yang turut bergelut sebelum menjadi pengendali paling berjaya dalam sejarah kelab.
“Saya masih ingat desakan supaya Alex Ferguson dipecat dalam dua tahun pertama. Begitu juga (Mikel) Arteta di Arsenal yang melalui tempoh sukar sebelum berjaya.
“Kami sedar keputusan di atas padang penting, tapi kami perlu sabar dan konsisten dengan perancangan jangka panjang. Ia bukan sesuatu yang boleh diubah sekelip mata.
“Ruben perlu membuktikan dia pengendali hebat dalam tempoh tiga tahun,” kata Ratcliffe.
Walaupun keluarga Glazer masih memiliki majoriti pegangan kelab tetapi Ratcliffe menafikan mereka boleh campur tangan dalam urusan pemecatan Amorim.
Ratcliffe turut menegaskan bahawa Amorim akan menghabiskan kontrak selama tiga tahun yang ditandatanganinya.
“Ia tidak akan berlaku. Kami ada hubungan kerja yang baik. Memang ada kesilapan sepanjang perjalanan, tapi kami belajar daripadanya. Tiada siapa yang sempurna.
“Ya, itu pendirian saya. Bola sepak bukan sesuatu yang memberi hasil serta-merta,” ujarnya.
Dari segi kewangan, United mencatat rekod pendapatan 666.5 juta pound (RM3.9 bilion) untuk tahun berakhir Jun 2025, walaupun mengalami kerugian 33 juta pound (RM194 juta).
Amorim juga menerima suntikan pasukan baharu bernilai lebih 200 juta pound (RM1.18 bilion) pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Ratcliffe turut berjanji mahu mengembalikan kegemilangan Akademi Manchester United, yang suatu ketika dahulu berjaya melahirkan bintang legenda seperti David Beckham, Ryan Giggs, Paul Scholes dan Gary Neville. – AFP/UTUSAN










