Amorim optimis ubah nasib Man United

Amorim optimis ubah nasib Man United

Ruben Amorim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Ruben Amorim masih optimis terhadap prospek Manchester United musim ini walaupun menamatkan 2025 yang sukar termasuk mencatat keputusan hambar 1-1 di laman sendiri menentang pasukan tercorot Wolves.

Pasukan kendalian Rob Edwards tiba di Old Trafford selepas mencatat 11 kekalahan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris, dengan kelab dari Midlands itu kukuh di dasar liga setelah hanya mengumpul dua mata daripada 18 perlawanan.

Namun, mereka meninggalkan Old Trafford dengan mata ketiga musim ini selepas gol pembukaan United oleh Joshua Zirkzee dibatalkan dengan jaringan Ladislav Krejci hanya tiga minggu selepas The Red Devils menang 4-1 di Molineux.

Bruno Fernandes, Bryan Mbeumo dan Mason Mount menjaringkan gol di Molineux tetapi mereka termasuk dalam kalangan lapan pemain yang tidak diturunkan untuk United yang berada di tangga keenam, dua mata di belakang juara bertahan England, Liverpool yang masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan dalam perebutan slot terakhir automatik ke Liga Juara-Juara.

“Saya sangat yakin. Kami hanya perlu mendapatkan semula semua pemain, dan saya benar-benar yakin.

“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku hingga akhir musim. Kemudian kami akan membuat rumusan musim ini,” kata Amorim.

Namun begitu, pengendali Portugal berusia 40 tahun itu menambah: “Tetapi saya sangat yakin apabila kami mendapatkan semula semua pemain, kami akan menjadi pasukan yang kuat. Tiada sebarang keraguan dalam fikiran saya.”

Perlawanan pertama United pada 2026 di tempat lawan menentang musuh tradisi, Leeds, Ahad ini, dengan Amorim berkata, beliau tidak akan mengambil risiko terhadap sesiapa dengan memburukkan lagi masalah kecederaan sedia ada. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN