PETALING JAYA: Melaka FC (MFC) mempamerkan kebangkitan dramatik apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi.
Beraksi dalam keadaan berjerebu, skuad Hang Tuah tidak patah semangat meskipun ketinggalan pada awal permainan sebelum memastikan kemenangan menerusi jaringan pemain gantian, R. Ruventhiran pada minit ke-86.
KL City terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Fareed Sadat yang menyudahkan umpanan Gary Steven Robbat.
Hantaran lintang Gary ke dalam kotak penalti disambut Fareed dengan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Melaka FC berpeluang menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Jafri Chew pada minit ke-25 dan ke-27, namun kedua-dua percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol KL City, Ameerul Eqhwan Mohd Fauzi.
Usaha tuan rumah akhirnya membuahkan hasil apabila Kpah Sherman memainkan peranan penting dalam gerakan gol penyamaan dengan melorongkan bola kepada Christian de Souza yang tenang menyudahkan peluang untuk mengikat kedudukan 1-1.
Melaka FC meneruskan rentak agresif selepas rehat dan memperoleh gol kedua pada minit ke-53.
Kali ini, giliran Sherman mencetak nama sebagai penjaring menerusi tandukan selepas menerima hantaran De Souza, sekali gus meletakkan tuan rumah di hadapan.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila KL City kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-76 menerusi sepakan sudut Paulo Josue mencetuskan situasi kelam kabut di depan gawang sebelum bola terkena Syahir Abd Rashid dan menerjah jaring sendiri.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Ruventhiran muncul wira Melaka FC apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-86.
Kemenangan tersebut menyaksikan Melaka FC mengutip tiga mata dan melonjak ke tangga keenam Liga Super.-UTUSAN











