PETALING JAYA: Kritikan bukan lagi berselindung, sebaliknya datang bertalu-talu ke arah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang gagal mempertahankan gelaran Terbuka Jepun, kelmarin.
Namun, Kejohanan Terbuka China yang bermula hari ini menjadi medan sempurna untuk memadam segala tohmahan dan menegakkan kembali maruah selaku pencabar elit dunia.
Pasangan No. 1 negara itu gagal mempertahankan kejuaraan di Terbuka Jepun apabila dikecewakan Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dalam aksi final yang hanya berlangsung 38 minit sekali gus melucutkan takhta No. 1 dunia yang baru diraih mereka lapan minggu lalu.
Sze Fei menegaskan mereka tidak mahu dibebani soal ranking, sebaliknya mahu kekal fokus memberikan persembahan terbaik sambil memburu gelaran di Beijing minggu ini.
“Tiada apa yang perlu kami buktikan (ranking), kami hanya mahu turun ke gelanggang, beri yang terbaik dan nikmati setiap perlawanan,” kata Sze Fei.
Kejohanan berstatus Super 1000 itu bakal menguji sejauh mana mereka mampu bangkit semula dan meneguhkan semula reputasi sebagai antara gandingan paling digeruni dunia.
Izzuddin pula memberi peringatan bahawa pasangan Korea Selatan itu kini muncul sebagai ancaman baharu yang bakal mendominasi dunia badminton dengan corak permainan agresif dan pantas yang sangat sukar untuk dibaca.
Menurutnya, mereka masih mencari formula terbaik untuk menyaingi kelajuan serta disiplin taktikal lawan yang jelas berada pada tahap tertinggi ketika ini.
“Kami cuba kejar rentak mereka, terutama dari segi kepantasan, tetapi mereka lebih bersedia dan dapat atasi kami di penghujung permainan,” kata Izzuddin.
Biarpun terpaksa turun ke Terbuka China tanpa status No. 1 dunia, Sze Fei-Izzuddin tetap bersemangat untuk membuktikan mereka bukan beregu ‘hangat-hangat tahi ayam’ yang hanya gah seketika.
“Kami akan buat persiapan lebih baik dan fokus kepada peningkatan diri sendiri tanpa terlalu memikirkan kedudukan ranking,” tambah Izzuddin.
Menjelang aksi pembukaan Terbuka China, Sze Fei-Nur Izzuddin bakal memulakan kempen menentang pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju.
Gandingan dari Korea yang kini menghuni ranking ke-49 dunia itu belum pernah menentang Sze Fei-Izzuddin sebelum ini, namun tetap dilihat sebagai ancaman dengan corak permainan agresif yang mampu mengejutkan lawan. – UTUSAN









