Pearly-Thinaah bangkit buru sejarah di Beijing

Pearly-Thinaah bangkit buru sejarah di Beijing

Pearly Tan-M Thinaah mahu menjadikan Kejohanan Terbuka China yang membuka tirai hari ini sebagai medan kebangkitan mereka selepas muncul naib juara pada Terbuka Jepun, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kecewa di pentas final Terbuka Jepun, Pearly Tan-M. Thinaah enggan terus dibelenggu kegagalan apabila berazam memulakan kempen Terbuka China 2025 dengan langkah kanan yang dijadualkan bermula hari ini.

Beregu No. 3 dunia itu dijadualkan membuka cabaran bertemu pasangan muda senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting di pusingan pertama kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Beijing.

Di dua edisi terdahulu, Pearly-Thinaah sekadar melangkah ke pusingan kedua, namun kali ini tampil dengan semangat baharu untuk mengubah sejarah di bumi China.

“Kami kena belajar dari kekalahan itu (di final Terbuka Jepun) kerana lawan baca permainan kami dengan sangat baik.

“Perancangan permainan kami langsung tak menjadi dan kami gagal atasi tekanan serta momentum mereka,” kata Pearly yang kecewa selepas tewas 15-21, 14-21 kepada pasangan No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning di Tokyo.

Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah merangkul selaku naib juara sebanyak tiga kali musim ini selepas Indonesia Masters dan Terbuka Indonesia.

Dalam pada itu, Thinaah mengakui kurang keyakinan ketika bertarung menjadi faktor utama kekalahan yang menafikan peluang mencipta sejarah sebagai juara Malaysia pertama dalam acara beregu wanita di Jepun.

“Paling penting, kami perlu lebih yakin dengan pukulan sendiri, tak kira apa pun kedudukan mata ketika itu,” kata Thinaah.

Bagaimanapun, Pearly enggan meratapi kekalahan ini menjejaskan fokusnya bersama Thinaah menjelang Terbuka China dan menegaskan kekuatan utama mereka masih kekal utuh dengan komunikasi antara satu sama lain.

“Kami harap semangat ini kekal untuk beri kami kelebihan di kejohanan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN