Soon Huat-Shevon mara pusingan kedua Terbuka China

Soon Huat-Shevon mara pusingan kedua Terbuka China

Goh Soon Huat-Shevon Lai menewaskan beregu campuran Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsumoto 21-15, 16-21, 21-19 pada Terbuka China, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Shevon Jemie Lai mengibaratkan perjalanan karier dia dan pasangannya, Goh Soon Huat seperti ‘rollercoaster’ dan mereka sedikit lega setelah melepasi halangan pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, semalam.

Menghuni ranking No. 12 dunia, Soon Huat-Shevon menewaskan beregu campuran Jepun, Hiroki Midorikawa-Misaki Matsumoto 21-15, 16-21, 21-19 dalam masa 49 minit.

Shevon berkata, pada penampilan edisi 2024, dia dan Soon Huat berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir dan pada tahun lalu, mereka tersingkir seawal pusingan pertama pada kejohanan berstandard Super 1,000 itu.

“Seperti satu perjalanan ‘rollercoaster’ kerana kami berada di perlawanan akhir pada 2024 dan kemudian kami kalah di pusingan pertama pada 2025.

“Ia satu kejatuhan besar. Tahun ini di pusingan pertama, kami bertemu lawan yang kuat, sejujurnya saya agak ragu-ragu dan banyak perkara bermain di fikiran saya tentang bagaimana mendapatkan semula momentum seperti yang kami miliki pada 2024,” katanya kepada wakil BWF, semalam.

Menurutnya, bukan perkara mudah terpaksa mengharungi prestasi tidak begitu baik sejak beberapa bulan lalu dan apabila berjaya meraih kemenangan dalam aksi pertama, ia adalah satu kelegaan besar.

Jelas Shevon, dia sebenarnya meletakkan banyak tekanan kepada diri sendiri ekoran prestasi hambar tersebut dan untuk mendapatkan semula momentum juga bukanlah satu kerja mudah.

“Saya rasa keyakinan kami juga telah banyak hilang sejak rentetan kekalahan kami di pusingan awal sebelum ini.

“Kembali ke sini semula dengan keadaan angin (dalam gelanggang), saya rasa perlawanan hari ini telah memberi kami sedikit kelebihan untuk mendapatkan semula keyakinan dan kembali yakin kepada diri sendiri,” tegasnya.

Pada peringkat 16 terbaik, hari ini, Soon Huat-Shevon yang kini menggalas status selaku beregu campuran No. 1 Malaysia akan berdepan wakil tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang merupakan pasangan No. 6 dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN