Ramadhan cabar diri di Liga M

Ramadhan cabar diri di Liga M

Ramadhan Sananta akan beraksi dalam Liga Malaysia mewakili DPMM FC yang berpangkalan di Brunei Darussalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang sensasi Indonesia, Ramadhan Sananta berkata, kehadiran ramai pemain bintang di Liga Malaysia (Liga M) menjadi faktor utama yang mendorongnya untuk menyertai DPMM FC, kelab berpangkalan di Brunei Darussalam yang bersaing dalam Liga Super musim ini.

Pemain berusia 23 tahun itu, menjadi antara bintang muda Indonesia yang memilih untuk mencabar diri di luar negara, dan mengakui tidak sabar untuk beraksi dalam saingan yang dijangka bermula Ogos ini.

Menurut Ramadhan, kehadiran nama-nama besar seperti Arif Aiman Hanapi serta bekas rakan sepasukannya di Persis Solo, Moussa Sidibe yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), menjadikan Liga M lebih menarik untuk diterokai.

“Dorongan saya untuk datang ke sini kerana saya tahu Liga Malaysia mempunyai persaingan yang tinggi. Ramai pemain hebat dan kualiti permainan mereka juga sangat baik.

“Saya masih muda dan perlu berani keluar dari zon selesa. Sudah tiba masanya saya cuba sesuatu yang baharu untuk mengembangkan karier dan membantu DPMM FC mencabar pasukan lain,” katanya.

Ramadhan turut berkongsi keterujaannya untuk bertemu semula dengan Sidibe dalam pertembungan menentang JDT, selain mengakui tidak sabar menguji kekuatan pemain tempatan bertaraf bintang seperti Arif Aiman.

“Arif Aiman memang antara pemain yang sering disebut-sebut. Saya pun mahu lihat sendiri kehebatannya di atas padang. Banyak pemain bagus di sini, dan saya yakin liga ini mampu bantu saya berkembang,” ujarnya.

Ramadhan merupakan antara penyerang muda paling menyerlah di Indonesia, terkenal dengan ketajaman penyudah serta kebijaksanaan membaca pergerakan pertahanan lawan.

Kini, dia dilihat sebagai antara watak penting dalam perancangan DPMM FC untuk menjadi pencabar utama di Liga Super.

Namanya mula meniti di bibir peminat Indonesia selepas membantu skuad bawah 23 tahun negara itu memenangi pingat emas Sukan SEA 2023 di Kemboja, di mana dia meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 5-2 ke atas Thailand di pentas final.

Bukan itu sahaja, Ramadhan juga semakin mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 ke atas Vietnam bersama skuad senior Indonesia dalam kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026.

Kini, kehadirannya di Liga Malaysia bukan sahaja dinanti peminat DPMM FC, malah juga peminat tempatan yang mahu menyaksikan bagaimana bintang muda Garuda ini menguji keupayaannya di pentas baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN