Iran minta AS terima cadangan buka semula Selat Hormuz

Iran minta AS terima cadangan buka semula Selat Hormuz

ABBAS ARAGHCHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Tawaran Iran kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari masih terpakai, kata Menteri Luar Abbas Araqchi kepada media Iran semalam.

Iran mengemukakan cadangan berkenaan pada pertengahan September selepas gencatan senjata sementara menemui jalan buntu.

Teheran kemudiannya mengesahkan menerima maklum balas daripada AS, namun ketua keselamatan Iran minggu lalu menyatakan rundingan terhenti berikutan kegagalan Washington menangani kesemua tujuh syarat bagi pembukaan semula selat berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian kami jelas dan berlandaskan cadangan tujuh hari yang dikemukakan kepada AS. Mereka telah memberikan ulasan yang kini sedang kami teliti, namun cadangan kami kekal berada di atas meja.

“Sekiranya ada kejujuran di pihak AS, jalan untuk membuka semula Selat Hormuz adalah amat jelas,” kata Araqchi ketika berada di Baghdad bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Antara tuntutan Iran termasuklah penarikan sekatan AS terhadap pelabuhannya, pemansuhan sekatan AS ke atas eksport minyaknya serta penghentian permusuhan di semua wilayah pertempuran serantau.

Araqchi menambah, sekiranya Washington menerima syarat Teheran, selat berkenaan boleh dibuka semula dalam tempoh enam hari, manakala rundingan akan bersambung pada hari berikutnya.

Titik pertikaian utama berpunca daripada desakan Washington yang mahu program nuklear Iran ditangani sejak awal perundingan.

Naib Presiden AS, JD Vance awal bulan ini berkata Iran perlu mengurangkan kapasiti pengayaan uraniumnya bagi memenuhi tuntutan AS dan menghentikan perang antara kedua-dua negara yang kini berlarutan selama lapan bulan.

Bagaimanapun, Teheran menegaskan perundingan sepatutnya memberi tumpuan terlebih dahulu kepada pembukaan semula Selat Hormuz yang sebelum perang telah mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) global serta memulihkan keselamatan di laluan perairan berkenaan. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini