Kemelut politik yang sedang menggoncang tanah air seolah-olah tidak ambil peduli nasib rakyat yang berdepan gelombang baharu pandemik Covid-19. Pembangkang sibuk menjaja nombor manakala komponen dalam kerajaan pula ibarat tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain.
Bagi mendapatkan perspektif, wartawan Mingguan Malaysia, Fahmi Faiz, Roshihan Annuar Yub dan jurugambar Mohd. Fariz Rusadio, menemu bual Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bagi mendengar penjelasan perkara itu di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kepada sekutu dalam Muafakat Nasional (MN), Ahli Parlimen Pasir Salak itu berpesan supaya taat setia kepada ukhwah, yang dirintis hasil keringat dan air mata sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Sementara kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau berkata:”UMNO belum ada keputusan kata nak tarik hand brake. Tidak timbul soal ini, setakat ini lah, esok lusa saya tak tahu,” jelasnya.
MINGGUAN MALAYSIA: Kenapa kemelut politik semakin parah sedangkan negara sedang dilanda Covid-19. Tidakkah pemimpin-pemimpin fikirkan rakyat?
DATUK SERI TAJUDDIN: Politik, politik juga, rakyat kita tidak abaikan. Kita tetap beri bantuan kepada rakyat. Yang menjadi masalah kalau berpolitik hingga melupakan rakyat. Politik itu penting. Tanpa politik rakyat tidak mendapat pembelaan. Kalau tiada politik, tiada kerajaan. Kalau tiada kerajaan macam mana nak bela rakyat? Kerajaan dibentuk melalui proses politik. Wakil rakyat, menteri yang dipilih itu akan membela rakyat.
Jadi proses politik kena berjalan untuk memastikan kita mendapat kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat. Jangan fikir masa Covid sahaja kena bantu rakyat. Itu tak betul. Kita bantu rakyat setiap masa. Jangan ingat orang politik ini tidur sahaja, waktu Covid baru jaga.
UMNO bermusuh dengan Bersatu?
Bermusuh? Pasal apa bermusuh pula? Perkataan bermusuh itu tak sesuai. Menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN) juga bukan. Orang yang keluar UMNO, boleh mohon semula jadi ahli. UMNO boleh terima, alu-alukan kalau nak kembali. Tapi kena ikut proses lah. Kena mohon, dari bawah balik lah biasanya. Tapi tengok juga. Ini politik kadang-kadang ada special case.
Boleh ulas tentang itu?
Macam sesetengah itu jadi calon, baru dua hari masuk UMNO dah jadi calon umpamanya, kenapa itu berlaku? Di atas keperluan parti. Jadi kalau ada kes-kes macam itu, maka mungkin pengecualian akan dibuat.
KALAU MN TARIK HAND BRAKE?
Bersatu sekarang ada 31 kerusi. Kalau MN tarik hand brake menolak mereka, mana hendak cari sokongan sebanyak itu untuk kekal jadi kerajaan?
Saya tak kata UMNO tarik hand brake. Belum ada keputusan kata nak tarik hand brake. Tidak timbul soal ini, setakat ini lah, esok lusa saya tak tahu (tertawa). Hakikatnya begitu, benda boleh berubah.
HUBUNGAN UMNO-BERSATU
Punca UMNO kurang senang dengan Bersatu?
Kemasukan Bersatu dalam MN tidak memberi masalah. Ia bukan timbul apabila Bersatu masuk dalam MN, sebaliknya sebelum mereka masuk pun sudah ada masalah.
Apa masalah itu?
Saya kata masalah ini sejak dulu lagi. Sejak UMNO menyertai PN dah timbul masalah UMNO tidak puas hati soal pelantikan dalam Kabinet. Kemudian adanya macam suatu yang dilakukan oleh Bersatu yang menggalakkan pemimpin UMNO melompat. Jadi masalah itu sudah bermula sejak dulu lagi, bukannya setelah mereka masuk MN, baru timbul masalah.
Bukankah UMNO, Pas malah Bersatu blok nasionalis haluan kanan, tidakkah rugi masing-masing berpecah?
Eloklah bersatu, memang itu yang kita mahu pun. Dari dulu sewaktu kita bawa gerakan Melayu Bangkit, Penyatuan Ummah dan MN, memang tujuannya hendak menyatukan Melayu. Parti Bersatu pun, mereka orang Melayu juga, apa salahnya masuk? Tiada masalah.
Yang menjadi masalah apabila kita hendak jaga hubungan antara sesama kita dalam itu yang berlainan parti. Walaupun kita orang Melayu Islam, tapi dalam PN itu, kita bukan dalam satu parti. Tiga parti berlainan, lain parti lain dia tindak-tanduk. Tapi yang penting, hubungan antara parti kena dijaga supaya ia tak timbulkan masalah.
Hubungan yang bagaimana?
Bila kita berkawan, hubungan antara kita akan elok kalau kita jaga. Jangan buat sesuatu yang kawan tak berapa seronok. Atau buat kawan berkecil hati. Apabila UMNO menyokong Bersatu dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tentulah UMNO itu bukannya kecil bilangan kerusinya. Sebaliknya jumlah yang besar.
Maknanya penyertaan ia dalam kerajaan itu, walaupun dipanggil penyertaan wakil rakyat atau Ahli Parlimen, besar maknanya kepada PN dan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Tanpa UMNO, mungkin beliau tidak boleh jadi Perdana Menteri. Mungkin tidak boleh tubuhkan kerajaan PN. Jadi peranan UMNO itu besar dan kalau peranan itu besar, maka hargailah.
HARGAI JASA UMNO
Sejauh mana Bersatu harus hargai jasa UMNO sebagai komponen?
Orang kata apa yang sepatutnya lah. Kalau orang kecil, kamu layanlah kecil. Orang kecil kalau beri makan banyak, buat apa? Maknanya UMNO itu parti besar, sumbangannya besar untuk pastikan kerajaan PN itu kuat. Jadi, tidak wajar lah kalau saya nak sebut nanti. Tapi, ini beri jawatan setakat Menteri Belia, jawatan yang sebagainya itu.
Jawatan diberi Bersatu tak cukup pentingkah?
Jawatan itu penting, tapi tidak boleh memberi impak besar. Kita nak memberi khidmat kepada rakyat, mengangkat status ekonomi rakyat, orang Melayu khususnya, tiada kuasa. Portfolio yang diberi, hah ini baru ayat yang tepat saya nak cakap. Saya malas sebenarnya hendak cakap soal ini sebab sudah banyak kali cakap. Orang pun tahu.
Andai kata Bersatu mahu berkompromi terhadap tuntutan UMNO?
Apa pula berkompromi? Tengok lah, benda tak nampak lagi. Tak payahlah nak senaraikan tuntutan itu, sebab semua dah maklum. Antaranya UMNO mesti dihargai, mesti dihormati, kata orang putih, ada recognition. Tidaklah seseorang itu hargai, misalnya kalau saya suruh kamu duduk di luar sahaja, di tangga. Bila saya hargai, saya jemput ke dalam rumah, duduk elok-elok. Siapkan minuman, bukan begitu?
Jadi bagaimana cara penghargaan yang difikirkan wajar?
Seperti disebut, ia tentang bagaimana sepatutnya Bersatu menghargai UMNO. Jadi kalau cakap Cina, lu pikir lah sendiri (tertawa). Umpamanya jawatan Timbalan Perdana Menteri, sepatutnya berilah kepada UMNO. Dikosongkan untuk apa? Jadi ini timbulkan tanda tanya dan kita pun nampak kemungkinan ada orang lain daripada parti lain dalam MN akan duduk situ. Nak mengisi tempat itu, ini menyebabkan kita tak puas hati.
KEAKRABAN UMNO DAN PAS
Susulan kemelut sekarang babitkan PN, UMNO dan Pas semacam tidak seakrab dulu?
Yang penting, kita kena bertanya apa punca jadi macam itu. Dulu sewaktu MN, elok sahaja. Dulu berpeluk bila menang PRK, menangis kegembiraan, begitu seronoknya Melayu sudah bersatu. Jadi timbul sekarang ini cakap-cakap sebegitu terhadap Pas, kaji balik apa pasal.
UMNO ada masalah apabila Pas berbaik dengan Bersatu?
Tiada masalah Pas berbaik dengan Bersatu. Cuma masalahnya Pas ini, nampaknya tidak begitu lagi, iaitu semangat MN itu sudah nampak lesu. Lemah. Tiada lagi program-program MN. Penyatuan Ummah sudah tiada lagi. Nampak Pas pun sudah tidak berapa berminat.
Kenapa kata begitu?
Apabila mereka sudah dapat masuk kerajaan, dapat jawatan banyak, nampak macam selesa. Sebab itu, MN itu macam gaya tidak penting lagi, betul tak? Dan membuat keputusan yang tidak menunjukkan kebersamaan dalam satu muafakat.
Mereka menyokong Dr. Mahathir supaya kekal sampai habis penggal, kita tiada buat kenyataan itu. Jadi orang dapat melihat bahawa seolah-olah Pas ini, orang kata, jauh pergi ke depan. Mungkin tak perlu lagi nak bersama dengan UMNO untuk masa depan, untukpilihan raya akan datang.
MAMPUKAH UMNO BERSENDIRIAN
SETIALAH DENGAN MN
Jadi bila keadaan sebegitu, apa yang sepatutnya dibuat?
Kalau betul adanya perasaan yang macam itu, pemikiran yang macam itu dalam kalangan orang tertentu dalam Pas, saya nak kata silap. Jangan terlalu yakin hendak tinggalkan MN ini, nak tinggalkan UMNO. Ini kerana masa depan apabila nak menghadapi pilihan raya, kalau kita tidak bersatu nanti takut sama-sama ulang balik sejarah PRU-14.
Maka jangan terlalu yakin. Duduk dalam kerajaan, ada jawatan, boleh berdikari sendiri.
Tidakkah UMNO, Pas dan semua blok Melayu seharusnya bersatu?
UMNO boleh membantu Pas. Mereka juga boleh membantu UMNO. Tapi kita kena bersama. Malangnya jika berpecah, jadi kita akan lemah semula dan pihak musuh akan ambil kesempatan. Jadi saya nasihatkan supaya hentikanlah, kalau ada pemikiran boleh tinggalkan UMNO dalam MN, dan boleh hadapi pilihan raya tanpa sokongan UMNO dan MN, adalah satu kesilapan besar.
UMNO TIDAK BOLEH STAND ALONE
Macam mana pula di pihak UMNO. Tanpa Pas dan Bersatu, bolehkah stand alone?
Tidak boleh! Melayu kena bersatu! Sama ada UMNO, Pas dan Bersatu, kena fikir bahawa kita orang Melayu kena bersatu. Ini banyak orang sudah lupa tentang pentingnya bersatu itu, bukan parti Bersatu (tertawa). Penyatuan orang Melayu itu, perpaduan.
Jadi apa jaminan MN boleh kekal sehingga pilihan raya akan datang?
Jaminan? Kalau semua orang insaf tentang masa depan orang Melayu, bergantung kepada Melayu harus bersatu dan tidak berpecah. Tiada jaminan lain, apa pun, menjurus ke arah mesti bersatu.
PASAL ZAHID HAMIDI
Dalam banyak group whatsapp UMNO, majoriti cemuh Zahid terpalit kes mahkamah?
Siapa yang tidak mahu berusaha untuk menyelamatkan diri masing-masing? Tidak hairan. Kalau Datuk Seri Zahid hendak menyelamatkan diri dia, itu wajib dan tanggungjawab dia. Menjaga keselamatan diri, menjaga keselamatan keluarga. Kenapa dipertikaikan?
Sama ada dia menggunakan parti kah, orang itu kah, ini kah, itu lain. Boleh dipersoalkan, tetapi jika dia berusaha apa cara sekalipun itu wajar. Tak kan kalau kamu dah sakit sampai nak mati tak pergi berubat? Kena berikhtiarlah cari ubatnya.
ANWAR ADA NOMBOR?
Benarkah Anwar ada nombor sokongan Ahli Parlimen?
Dia tidak beritahu saya pun. Mana saya tahu. Jawapannya jelas. Yang tahu sahaja tahu.
Kenapa Anwar beria-ia mahu jadi PM? Mungkinkah dia terima ‘desakan’ pihak asing?
Asing itu kita tak tahulah. Kita pun tak tengok. Tiada bukti. Tapi kita memang tahu dia dari dahulu bercita-cita untuk jadi PM. Nak jadi seorang pemimpin hebat sejak dari kampus lagi. Jadi dia seorang yang kental semangat perjuangannya. Sama ada bawa jalan yang betul atau tidak betul. Ada masa dia betul, ada masa dia tak betul.
Tapi semangat dia tiada orang boleh lawan. Tapi tiada bukti campur tangan asing di belakang Anwar. Atau ada pihak yang tahu tapi tidak mahu ke hadapan untuk beritahu? Memang ada orang yang bercakap.
GAJI DI PRASARANA
Sebagai Pengerusi di Prasarana?
Boleh dikatakan setiap hari saya pergi ke pejabat walaupun saya bukannya Pengerusi Eksekutif. Chairman biasa yang sepatutnya mempengerusikan mesyuarat, sebulan sekali ke, sebulan dua kali ke. Kalau sebab pasal gaji, bukan ada gaji pun. Elaun sahaja. RM8,000 cukup?
Gaji editor Utusan pun lagi banyak. Itu contoh. Tapi kita buat kerja macam gaji RM50,00- RM60,000. Tiap-tiap hari pergi. Tengok apa yang perlu dibuat. – MINGGUAN MALAYSIA.










