PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan melaksanakan pendaftaran automatik secara menyeluruh bagi memastikan semua rakyat yang layak menerima vaksin Covid-19 tidak tercicir atas pelbagai sebab atau alasan.
Sasaran pendaftaran automatik akan dijalankan dalam masa terdekat selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) dan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) pada minggu ini.
Difahamkan, pendaftaran itu mengambil rekod data daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi warganegara dan Jabatan Imigresen Malaysia untuk warga asing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, individu yang sudah mendaftarkan diri untuk menerima vaksin pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan tetap diutamakan untuk diberi janji temu terlebih dahulu.
Menurut beliau, pendaftaran automatik bermaksud kerajaan akan memberikan vaksin kepada semua penduduk yang layak menerima vaksin tanpa mengira mereka sudah mendaftar menerusi MySejahtera atau sistem pendaftaran sedia ada.
“Dengan bekalan vaksin yang bertambah baik, kaedah pemberian vaksin akan diperluaskan dengan mempelbagaikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), termasuk kaedah temu seru (outreach) di kawasan-kawasan yang sukar dilawati dan pemberian vaksin di institusi-institusi termasuk pusat jagaan,” kata beliau di sini semalam.
Selain itu, Dr. Adham berkata, kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi melalui penilaian risiko Kementerian Kesihatan akan diberi keutamaan untuk diberikan vaksin melalui aktiviti kawalan wabak atau pelaksanaan di bawah fasa 4 PICK.
Kata beliau, dalam kawalan wabak, pemberian vaksin akan dilaksanakan dengan matlamat untuk mencapai liputan berkelompok dalam tempoh yang singkat.
Untuk itu, katanya, seramai mungkin penduduk akan diberikan vaksin tanpa mengira mereka telah mendaftarkan diri dalam PICK atau belum berbuat demikian.
“Pendaftaran akan dibuat semasa mereka menerima vaksin di PPV. Dengan ini, penduduk yang tidak mendaftarkan diri disebabkan kesukaran-kesukaran tertentu akan tetap berpeluang mendapatkan vaksin Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Adham memberitahu, pendaftaran automatik itu tidak bermakna pemberian vaksin diwajibkan, tetapi ia diberikan hanya kepada mereka yang bersetuju dan tiada paksaan.
Namun begitu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan sangat berharap semua yang layak diberikan imunisasi tampil untuk pendaftaran dan menerima vaksin mengikut masa ditetapkan.
“Pelaksanaan ini dapat mempercepatkan dan mempertingkatkan kadar liputan pemberian vaksin yang menjadi matlamat utama PICK,” katanya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan tiada individu ketinggalan dalam program vaksinasi selain akan memudahkan proses pendaftaran penerimaan vaksin dengan meminta JKJAV menilai cadangan melaksanakan proses pendaftaran automatik bagi memastikan seramai mungkin rakyat menerima vaksin.
Langkah itu diumumkan selepas banyak keluhan penduduk luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas memaklumkan mereka sukar membuat pendaftaran dan memenuhi temu janji menerima vaksin.
Sehingga semalam, belum sampai 13 juta individu mendaftar bagi mendapatkan vaksin, dan jumlah itu hanya meliputi 52 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak menerima vaksin.
Kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka itu akan terus meningkat berikutan 16 juta dos vaksin Covid-19 bakal tiba dalam tempoh dua bulan akan datang.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin sebelum ini turut memberitahu, Malaysia akan menerima lebih banyak bekalan vaksin pada suku ketiga tahun ini iaitu lebih 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech susulan perjanjian tambahan sebanyak 12.8 juta dos yang ditandatangani dengan syarikat pengeluar vaksin tersebut.
Ini menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang ditempah kerajaan meningkat kepada sebanyak 44.8 juta atau cukup untuk 70 peratus daripada jumlah populasi.
Pada bulan ini, lebih 2.2 juta dos vaksin itu akan diterima negara dan sejumlah 444,600 dos akan dihantar setiap minggu bagi tempoh lima minggu. Ini bermakna jumlah keseluruhan vaksin Pfizer yang telah dan akan diterima sehingga akhir Jun adalah lebih 4.9 juta dos. – UTUSAN










