PUTRAJAYA: Laluan Laut China Selatan dan Selat Melaka menjadi sasaran sindiket jenayah maritim antarabangsa untuk menjalankan aktiviti pemindahan minyak secara haram susulan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, pihaknya mengesan rangkaian antarabangsa terbabit menggunakan taktik mematikan sistem pengesanan automatik (AIS) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut beliau, aktiviti pemindahan minyak secara haram itu lazimnya dilakukan di luar had Laut Wilayah Malaysia, khususnya di kawasan berhampiran sempadan maritim atau laluan perkapalan antarabangsa.
“Apabila berlaku gangguan bekalan seperti di Iran, permintaan minyak meningkat dan harga melonjak. Pada ketika ini, sindiket mengambil kesempatan menjalankan pemindahan minyak haram untuk dijual di pasaran gelap.
“Pemilihan lokasi ini bertujuan mengeksploitasi jurang bidang kuasa serta mengehadkan keupayaan tindakan penguatkuasaan secara langsung oleh pihak berkuasa tempatan termasuk Maritim Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Rosli berkata, kapal yang terlibat dipercayai menggunakan taktik ‘AIS blackout’ dengan mematikan sistem pengesanan bagi mewujudkan ‘titik buta’ dalam radar pemantauan maritim.
“Berdasarkan kes yang dikesan, minyak yang dipindahkan secara haram ini berkemungkinan berasal dari negara tertentu sebelum dijual semula melalui rangkaian sindiket antarabangsa.
“Malaysia sebagai negara di laluan perdagangan utama dunia tidak terkecuali daripada risiko ini, lebih-lebih lagi apabila aktiviti pemindahan minyak sah memerlukan kelulusan Jabatan Laut Malaysia serta pematuhan ketat piawaian antarabangsa,” ujarnya.
Beliau menegaskan pemantauan lebih agresif perlu dilaksanakan, termasuk penggunaan teknologi satelit serta kerjasama serantau bagi mengekang peningkatan aktiviti haram yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 36 kes aktiviti pemindahan minyak haram direkodkan dari Januari 2021 hingga Disember 2025 di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
“Statistik menunjukkan peningkatan pada peringkat awal sebelum mencatatkan trend penurunan kebelakangan ini. Pada 2021, dua kes direkodkan, meningkat kepada 11 kes pada 2022, sebelum menurun kepada 10 kes (2023) dan sembilan kes (2024).
“Bagi tahun 2025 setakat ini, hanya empat kes direkodkan, sekali gus mencerminkan penurunan berbanding tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN










