PETALING JAYA: Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu berhenti menuding jari kepada pihak lain ekoran pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kesilapan yang berlaku tidak sepatutnya dikaitkan dengan faktor politik atau kerajaan kerana tindakan yang diambil RoS lebih menjurus kepada soal kepemimpinan dan pengurusan PN.
Beliau mendakwa, ketika menguruskan PN, kepemimpinan gabungan itu dilihat mengambil alih peranan RoS termasuk dalam menentukan kedudukan Bersatu sebagai parti komponen dalam mesyuarat PN.
“Jangan terlalu menuding jari. Kesilapan yang berlaku ini kesilapan pengurusan, bukannya politik. Sepatutnya lihat kesilapan daripada kepimpinan dan pengurusan sendiri.
“Mereka menguruskan PN sampai tahap mengambil alih peranan RoS. Dia (kepimpinan PN) yang menghukum Bersatu. Buat keputusan sama ada Bersatu layak atau tidak hadir sebagai parti komponen di dalam mesyuarat PN,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.-UTUSAN.











