BAGAN DATUK: Penduduk dan kaki pancing mendakwa melihat kelibat seekor buaya bersaiz besar di Sungai Perak berhampiran Kampung Pasang Api, di sini, dua hari lalu.
Kaki pancing, Iwan Natiran, 32, dari Sungai Tiang Tengah, Selekoh berkata, dia terserempak dengan reptilia itu kira-kira pukul 4.30 petang ketika memancing di kawasan tebatan banjir di kampung tersebut.
Menurutnya, ketika itu dia ternampak buaya berkenaan berenang berhampiran batu di kawasan tebatan banjir sebelum bergerak perlahan-lahan di permukaan sungai.
“Saya menganggarkan panjangnya kira-kira tiga meter. Buaya itu bergerak perlahan-lahan dalam keadaan tenggelam timbul manakala badannya kelihatan bersisik dan berwarna hitam kebiruan.
“Kerana takut, saya meninggalkan joran di situ dan berlari untuk memaklumkan penduduk mengenai kehadiran reptilia itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Iwan berkata, kejadian itu menyebabkan dia berasa takut untuk meneruskan aktiviti memancing kerana percaya buaya berkenaan masih berada di kawasan sungai di kampung itu.
Seorang penduduk, Suhaidi Basiran, 41, berkata, dia turut melihat kelibat seekor buaya ketika melalui jambatan berhampiran Masjid Tuminah, di sini, kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin.
Katanya, reptilia itu dilihat bergerak dari arah sungai menuju ke jeti Bagan Datuk dan saiznya yang besar menyebabkan dia pada mulanya menyangka haiwan itu adalah kayu hanyut.
“Saya menganggarkan panjang buaya itu kira-kira tiga meter. Pada mulanya, saya menyangka kayu balak hanyut lalu membalingnya dengan batu.
“Selepas objek itu bergerak, barulah saya menyedari bahawa ia sebenarnya seekor buaya,” katanya.-UTUSAN.











