SEPANG: Orang ramai dinasihatkan tidak melakukan aktiviti di persisiran Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek di sini susulan penampakan haiwan dipercayai seakan-akan buaya di kawasan berkenaan semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penampakan haiwan itu lewat petang 25 Oktober lalu.
Menurutnya, haiwan berkenaan dilihat orang awam ketika berada berhampiran pusat peranginan di kawasan Pantai Bagan Lalang.
“Kami akan menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan untuk menangani masalah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di persisiran Pantai Bagan Lalang bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Norhizam berkata, segala usaha akan dilakukan bagi menjamin keselamatan orang awam dengan kerjasama agensi berkaitan. – UTUSAN











