BAITULMUQADDIS: Parit yang bertujuan menempatkan buaya sedang digali di sekeliling sebuah blok keselamatan tinggi di Penjara Ketziot, selatan Israel yang turut menempatkan anggota Hamas, menurut laporan media Israel pada Rabu.
Menurut akhbar harian Yedioth Ahronoth, parit itu sedang dibina di sekitar penjara tersebut dengan panjang kira-kira 170 meter.
Seorang pegawai pihak berkuasa tempatan dari Majlis Wilayah Ramat Negev, lokasi penjara tersebut berkata, parit berkenaan digali di dalam kawasan penjara mengelilingi salah satu blok khas dan tidak dapat dilihat dari luar.
“Tiada siapa tahu sama ada benar-benar akan ada buaya di situ, tetapi persiapan sedang dilakukan,” kata pegawai yang enggan dikenali itu seperti dipetik akhbar berkenaan.
Kementerian Keselamatan Israel turut mengesahkan kerja pembinaan saluran yang diperuntukkan untuk buaya telah dimulakan, menurut laporan itu.
Projek tersebut menyusuli keputusan Menteri Perlindungan Alam Sekitar, Idit Silman minggu lalu yang mengklasifikasikan buaya Nil sebagai haiwan liar yang dijinakkan, walaupun mendapat bantahan daripada pegawai profesional di kementeriannya.
Pejabat Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir berkata, keputusan Silman membuka jalan kepada projek itu dan menambah fasa perintis penjara buaya secara rasmi bermula di salah satu blok Penjara Ketziot.
“Sesiapa yang menyangka ini sekadar gimik ternyata silap,” kata pejabat Ben-Gvir.
Menurut akhbar itu, Perkhidmatan Penjara Israel sudah menyediakan pelan bagi penjagaan, pemantauan dan penempatan buaya, manakala pegawai penjara turut menerima latihan mengenai cara mengendalikan reptilia tersebut.
Projek itu diperuntukkan dana sebanyak AS$6.3 juta (RM25.73 juta).
Israel menahan ratusan rakyat Palestin sejak 8 Oktober 2023 dengan mendakwa mereka anggota Unit Nukhba, sayap ketenteraan Hamas dan merancang untuk membicarakan mereka di mahkamah khas.
Ben-Gvir sebelum ini menyiarkan rakaman video dari blok khas di Penjara Ketziot bagi menunjukkan keadaan tahanan. Video itu turut memaparkan tahanan dihalang keluar dari blok, tidak membekalkan selimut dan makanan yang mencukupi serta memaksa mereka tidur di atas kepingan besi.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Taman dan Alam Semula Jadi Israel mengadakan mesyuarat tergempar pada Selasa bagi membincangkan cadangan penggunaan buaya di penjara, dengan semua peserta dilaporkan membantah cadangan tersebut, menurut Yedioth Ahronoth.
Akhbar itu turut melaporkan keputusan Silman mengklasifikasikan buaya Nil sebagai haiwan liar yang dijinakkan bercanggah dengan pandangan penasihat undang-undang kementeriannya dan pendirian profesional Pihak Berkuasa Taman serta Alam Semula Jadi Israel.
Penjara Ketziot yang terletak di Gurun Negev merupakan penjara terbesar di Israel. – AGENSI










