PETALING JAYA: Tahap kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan perairan negara akan terus diperkukuh khususnya di utara Sabah yang bersempadan dengan Filipina bagi menangani ancaman pencerobohan serta jenayah rentas sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu merupakan antara fokus lawatan kerja ke Pulau Banggi, Sabah selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina sebelum ke Pos Dogoton bagi meninjau tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan Malaysia–Filipina.
Menurut beliau, Pos Dogoton merupakan antara pos keselamatan hadapan yang bersempadan dengan perairan Filipina dan memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan negara di utara Sabah.
“Ia termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Saya turut diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan pasukan keselamatan.
“Saya merakamkan penghargaan tertinggi kepada pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton.
“Keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan mereka dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan kita terus hidup aman dan tenteram,” katanya. – UTUSAN










