KUALA LUMPUR: Pengambilan semula tanah dan pencerobohan menyebabkan enam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) berkeutamaan tinggi gagal disiapkan mengikut jadual.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, enam projek berkenaan ialah RTB Sungai Solok, RTB Likas, RTB Baling Fasa 2, RTB Sungai Maran, RTB Sungai Klang Seksyen 25 dan RTB Sungai Damansara.
Beliau berkata, sehingga Disember lalu, sebanyak 37 projek RTB lain sedang dilaksanakan mengikut jadual.
“Kelewatan pelaksanaan projek turut disebabkan oleh keperluan pengalihan utiliti sedia ada dan kelewatan kelulusan teknikal melibatkan pelbagai agensi, selain faktor cuaca ekstrem dan kejadian banjir luar biasa yang memberi kesan signifikan terhadap kemajuan kerja di tapak.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mengambil perkara ini dengan serius dan telah melaksanakan langkah penambahbaikan menerusi pengukuhan tadbir urus projek termasuk pemantauan kemajuan secara lebih rapi serta penstrukturan semula jadual kerja,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) yang ingin tahu projek-projek RTB berkeutamaan tinggi yang mengalami kelewatan serta langkah mitigasi segera untuk kawasan yang masih terjejas akibat kelewatan projek.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, Petra turut memperketat penguatkuasaan terma kontrak termasuk tindakan terhadap kontraktor yang gagal memenuhi prestasi ditetapkan.
Katanya, Petra juga terus memperkukuh penyelarasan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi mempercepat kelulusan dan penyelesaian isu di lapangan.
“Sementara menunggu projek RTB siap sepenuhnya, Petra melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi keutamaan kepada langkah mitigasi jangka pendek melalui Projek Pemuliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir dan melindungi penduduk di kawasan terjejas.
“Langkah itu melibatkan kerja pengaliran sungai, penstabilan tebing serta naik taraf saluran dan struktur berkaitan.
“Bagi tempoh 2022 hingga 2025, peruntukan berjumlah RM556.6 juta telah disalurkan ke seluruh negara bagi melaksanakan kerja kecil berasaskan keutamaan kawasan berisiko tinggi di peringkat negeri,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga menubuhkan pasukan petugas melibatkan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu di lapangan yang menjadi punca kelewatan projek RTB termasuk masalah reka bentuk oleh konsultan, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti seperti kabel elektrik dan paip air.
“Johor antara negeri terawal menubuhkan pasukan petugas seumpama itu dan pendekatan berkenaan telah diperluas ke negeri lain sebagai mekanisme penyelarasan perancangan, pemantauan dan penyelesaian isu pelaksanaan projek,” katanya. – UTUSAN










