KUALA LUMPUR: Pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara dijangka memberi kesan langsung terhadap keselamatan sempadan negara disebabkan aktiviti ekonomi dan kepadatan penduduk yang meningkat di kawasan berhampiran Sarawak-Kalimantan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keadaan itu boleh membuka ruang kepada pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pemerdagangan manusia dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Apabila Nusantara dibangunkan sebagai ibu kota baharu Indonesia, tumpuan ekonomi dan pergerakan manusia di kawasan Kalimantan akan meningkat, dan ini secara langsung memberi tekanan kepada sempadan Sarawak.
“Kita menjangka peningkatan aktiviti ekonomi turut membawa risiko kepada jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan barangan, pemerdagangan manusia dan kebanjiran PATI jika kawalan tidak diperketatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Puan Rodiyah Sapiee (GPS–Batang Sadong) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, mengenai langkah memperketat kawalan keselamatan sempadan Sarawak-Kalimantan menjelang pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara.
Menurut Saifuddin, kerajaan melalui Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak kini melaksanakan Operasi Taring Awas/Batas yang merangkumi rondaan berkenderaan, sekatan jalan raya, kawalan di kompleks ICQS serta risikan keselamatan bagi mengekang sebarang ancaman.
“Kita tidak boleh ambil ringan soal sempadan. PGA digerakkan sepenuhnya melalui operasi ini bagi memastikan sebarang cubaan penyeludupan atau kemasukan PATI dapat dikesan awal dan ditangani segera,” katanya.
Katanya, kerajaan juga menubuhkan Batalion 23 PGA Sri Aman yang bertanggungjawab di kawasan Serian, Sri Aman dan Betong, selain meluluskan RM28 juta untuk pembinaan tujuh pos kawalan keselamatan baharu di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
“RM64.3 juta turut diperuntukkan bagi 22 projek pembangunan sempadan termasuk pembinaan lapan Forward Operation Base (FOB) serta perolehan kenderaan rondaan, dron taktikal dan kemudahan operasi udara.
“Selain kekuatan anggota, kita beri tumpuan kepada aset dan teknologi. Kementerian telah meluluskan perolehan dron Vertical Take Off and Landing (VTOL) serta radar pengawasan mudah alih untuk meningkatkan pemantauan,” katanya.
Saifuddin berkata, pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN) yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dirancang bagi memastikan pengawasan dilakukan secara masa nyata dan berterusan.
“KDN komited memastikan sempadan negara kekal selamat. Kita juga bekerjasama rapat dengan Indonesia dan Thailand melalui platform General Border Committee (GBC) serta High Level Committee (HLC) bagi perkongsian maklumat risikan dan penyelarasan operasi bersama,” katanya. – UTUSAN










