PETALING JAYA : Tiada laporan diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung kejadian pemindahan minyak daripada kapal ke kapal (STS) yang membabitkan kapal yang berdaftar dari Iran ataupun yang membawa minyak dari negara itu di Perairan Wilayah Malaysia terutamanya di kawasan yang dibenarkan berlabuh.
Perkara ini sekali gus menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa perairan Malaysia dan sekitar rantau ini digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya bagi mengelak sekatan AS ke atas negara itu.
Maritim Malaysia memberitahu Utusan Malaysia, oleh yang demikian, risikan, pengawasan dan rondaan penguatkuasaan oleh agensi ini akan dipertingkat sama ada menerusi aset laut dan udara.
“Maritim Malaysia juga akan memantau pergerakan kapal-kapal menerusi Radar Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia dalam usaha membanteras kegiatan pemindahan minyak melalui kaedah Ship to Ship (STS) secara haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Maritim Malaysia berkata, bermula 2020 hingga kini, terdapat 12 kes telah direkodkan melibatkan aktiviti STS yang disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Katanya, sebanyak satu kes direkodkan pada tahun 2021 membabitkan penahanan sembilan kru kapal warganegara Iran dengan membabitkan dua kapal kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Kesemua penahanan dilaksanakan menerusi beberapa siri operasi khas iaitu Op Jangkar Haram,” jelasnya.
Tambahnya, Maritim Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Laut Malaysia kerana setiap kapal yang ingin berlabuh atau menjatuhkan sauh di Malaysia perlu mendapatkan kebenaran daripada Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Maritim Malaysia berkata, aktiviti pemindahan minyak secara STS di perairan Malaysia memerlukan kebenaran bertulis daripada pihak Jabatan Laut Malaysia di bawah sub Seksyen 491 (B) (K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Selain itu juga, Maritim Malaysia juga diberi kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang berkaitan Petroleum Development Act (PDA) 1974 di bawah seksyen 6(3) Akta Kemajuan Petroleum 1974 di mana permohonan hendaklah dibuat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan atau meneruskan apa-apa jua urusan memasarkan atau mengedarkan petroleum atau keluaran petroleum di dalam negeri.
“Sekiranya mana-mana diantara aktiviti berikut dilaksanakan tanpa lesen, maka Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di bawah Akta APMM 633 sub Seksyen 7 kuasa agensi mempunyai kebenaran bagi melakukan penguatkuasaan di bawah peruntukan Merchant Shipping Ordinance 1952 (Jabatan Laut Malaysia),” katanya.
Pada 9 Mei lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pendirian Malaysia tidak menyokong sebarang kegiatan pengganas, selain turut memberi jaminan terus komited terhadap sebarang usaha membanteras kegiatan pembiayaan keganasan.
Beliau berkata, kerajaan memahami kebimbangan disuarakan AS berhubung kewujudan aktiviti penyaluran dana kepada kumpulan pengganas didakwa terkait dengan negara ini.
Ia kerana sebelum ini, AS percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau ini digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya bagi mengelak sekatan AS ke atas negara itu.
Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson, dilaporkan berkata AS sudah memantau pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Malaysia. – UTUSAN










