GEORGE TOWN: Pulau Pinang muncul sebagai satu-satunya lokasi di Asia Tenggara yang tersenarai antara 25 destinasi pelancongan terbaik dunia untuk dikunjungi sepanjang 2027 oleh National Geographic.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai ketika dihubungi berkata, pengiktirafan itu membuktikan daya tarikan Pulau Pinang yang menawarkan pengalaman pelancongan unik daripada warisan sejarah hingga keindahan alam semula jadi.
“Pulau Pinang berbangga kerana terpilih untuk berada dalam senarai tahunan berprestij itu sekali gus memberikan inspirasi dan alasan kukuh kepada pelancong untuk terus meneroka dunia termasuk Pulau Pinang pada tahun depan,” katanya.
Katanya, pemilihan Pulau Pinang dibuat menerusi proses pencalonan, penyelidikan serta pelaporan yang menyeluruh oleh pasukan pakar pelancongan dan pasukan editorial antarabangsa Nat Geo Traveler.
“National Geographic mengetengahkan keunikan Pulau Pinang yang menggabungkan kawasan bersejarah George Town yang diiktiraf UNESCO, pantai berlatarbelakangkan hutan hujan, perkampungan tradisional dan sungai bakau di Seberang Perai selain hab perindustrian moden,” katanya.
Hon Wai berkata, pengiktirafan terbaharu itu turut mengukuhkan reputasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa selepas negeri ini pernah diketengahkan oleh National Geographic pada 2025 menerusi liputan mengenai pulau terbaik di Asia Tenggara untuk menikmati makanan.
“Pengiktirafan antarabangsa ini mengukuhkan lagi daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan global. Ia mencerminkan keunikan negeri ini serta pengalaman yang terus menarik pengunjung dari seluruh dunia,” ujar beliau.
Beliau berkata, pengiktirafan daripada penerbitan berpengaruh seperti National Geographic berpotensi meningkatkan profil Pulau Pinang di peringkat global, sekali gus memperkukuh tarikannya dalam kalangan pelancong.
“Kejayaan ini adalah hasil komitmen serta kerjasama berterusan oleh semua pihak dalam industri pelancongan di Pulau Pinang termasuk pengusaha serta organisasi berkaitan yang bersama-sama membangunkan dan mempromosikan sektor berkenaan,” katanya.-UTUSAN.











