TAHUN ini, seramai 460,771 murid Tahun Empat di seluruh negara menduduki Matriks Pembelajaran Tahun 4 (MPT4), iaitu kaedah pengukuran tahap pembelajaran murid yang diperkenalkan buat kali pertama oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Menurut Pengarah Peperiksaan, Lembaga Peperiksaan, Ab. Aziz Mamat, seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 6 Oktober lalu, ibu bapa tidak perlu bimbang sekiranya anak mereka tidak memperoleh skor tinggi kerana MPT4 bukan peperiksaan berimpak tinggi.
Sebagai bekas pendidik yang berkhidmat selama 37 tahun sebelum bersara wajib, saya berpandangan langkah yang diambil KPM ini wajar mendapat sokongan padu daripada semua pihak.
Usaha tersebut penting untuk membantu mengenal pasti tahap penguasaan murid serta memberi gambaran lebih jelas tentang perkembangan pembelajaran mereka.
Pelaksanaan MPT4 juga dilihat dapat meningkatkan kesediaan murid dan ibu bapa dalam memberikan perhatian kepada pendidikan, terutama selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Dengan adanya pengukuran ini, ibu bapa mempunyai gambaran lebih jelas tentang tahap penguasaan anak masing-masing, manakala murid pula dapat mengenal pasti aspek pembelajaran yang perlu diperbaiki.
Ibu bapa perlu memahami maklumat pentaksiran bukan bertujuan memberikan tekanan kepada anak, sebaliknya membantu pihak sekolah merancang tindakan susulan dan intervensi bersesuaian mengikut keperluan setiap murid.
Pendekatan ini membolehkan kelemahan dikenal pasti lebih awal sebelum menjejaskan penguasaan pembelajaran pada peringkat seterusnya.
Pada masa sama, hasil pentaksiran boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa untuk membantu anak mengulang kaji pelajaran di rumah.
Tanggungjawab mendidik tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada guru dan pihak sekolah kerana sokongan keluarga turut memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan akademik anak-anak.
Kerjasama erat antara sekolah dengan keluarga dapat memastikan setiap murid menerima bimbingan yang diperlukan. Dengan cara ini, pentaksiran bukan sekadar mengukur pencapaian, malah menjadi panduan untuk memperbaiki kaedah pembelajaran dan meningkatkan penguasaan ilmu secara berterusan.
Justeru, saya berharap KPM meneruskan inisiatif ini dengan memperkenalkan kepada murid Tahun 5 pada tahun hadapan. Kesinambungan tersebut penting supaya perkembangan murid dapat dipantau dari semasa ke semasa dan langkah penambahbaikan dapat dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar mereka. –UTUSAN
CIKGU XGB
Jerantut,
Pahang











