KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan 11 lelaki bersama dua Vesel Nelayan Asing Vietnam (VNAV), di perairan Barat Laut Pulau Straggler, dekat sini, kelmarin.
Suspek warganegara Vietnam berusia 17 hingga 48 tahun itu dipercayai cuba menceroboh masuk perairan negara bagi melakukan aktiviti menangkap hasil laut.
Pengarah APMM Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pihaknya menahan dua vesel dinaiki suspek ketika menjalankan Operasi Sejahtera dan Operasi Tiris pada pukul 6.50 petang.
“Dalam operasi itu, seramai 11 kru termasuk tekong ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel berkenaan melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek ditahan bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM6 juta.
Beliau berkata kedua-dua vesel diiring ke Jeti Tahanan Vesel APMM Kudat yang mengambil masa hampir 12 jam perjalanan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Hasbullah menegaskan, APMM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan nelayan asing yang jelas menjejaskan sumber perikanan negara serta menimbulkan kerugian besar kepada komuniti nelayan tempatan. – UTUSAN







