RANTAU PANJANG: Sindiket perlombongan emas dan mineral haram yang rancak mengaut hasil bumi negara tumpas apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara membongkar 10 kegiatan haram menerusi siri Op Khazanah di Kelantan, Terengganu dan Pahang sepanjang tahun ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan, jentera berat, peralatan melombong termasuk emas mentah menerusi Op Khazanah di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Menurutnya, selain itu, seramai 52 orang lelaki dan masing-masing seorang wanita tempatan dan warga asing berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an ditahan untuk membantu siasatan.
“Suspek yang dicekup di lokasi perlombongan itu terdiri daripada rakyat tempatan, warga Indonesia, Kemboja, Myanmar dan Orang Asli.
“Daripada tiga negeri itu, Kelantan dan Terengganu paling banyak kes rampasan peralatan termasuk jentera berat dan emas mentah hasil daripada perlombongan haram.
“Kami juga menjumpai emas mentah di bawah karpet yang dijadikan sebagai penapis ketika kerja-kerja melombong emas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pos PGA Pak Teh Kana di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kebanyakan kegiatan perlombongan emas haram di ketiga-tiga negeri itu bermula sejak Januari lalu.
Katanya, selain emas, pihaknya mendapati terdapat unsur mineral lain yang ditemui semasa menjalankan serbuan di Temerloh, Pahang baru-bari ini.
“Mineral yang tidak dapat dikenal pasti itu diserahkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains untuk penyelidikan dan siasatan lanjut.
“Kebiasaannya, kegiatan perlombongan haram dijalankan di lokasi hutan simpan yang menggunakan laluan balak,” katanya. – UTUSAN










