KUALA LANGAT: Dua kenderaan yang sarat membawa pendatang tanpa izin (PATI) bertindak nekad merempuh kereta anggota polis sehingga terpaksa dilepaskan tembakan dekat Plaza Tol Telok Panglima Garang di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu melibatkan pacuan empat roda dan kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner dipandu suspek yang meloloskan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, Bahagian Task Force Atispom Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan anggota Pos PGA Pulau Carey menahan kenderaan membawa warga Bangladesh itu bagi menjalankan pemeriksaan.
Menurutnya, pacuan empat roda dinaiki suspek bagaimanapun mengundur dengan laju dan merempuh kenderaan anggota polis sehingga remuk serta enjin tidak dapat dihidupkan.
“Pada masa sama, Fortuner suspek merempuh kenderaan pasukan dan menyebabkan dua anggota melepaskan tembakan ke arah tayar belakang.
“Sebanyak lima das tembakan dilepaskan dan mengenai tayar kenderaan itu yang kemudian melarikan diri melepasi tol menuju ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Pacuan empat roda suspek turut melarikan diri dengan cara melawan arus memasuki jalan bersebelahan lokasi tersebut.
Menurut Akmalrizal, polis cuba mengejar Fortuner itu sebelum mendapati ia ditinggalkan di bahu jalan dalam keadaan pintu terbuka tanpa sebarang individu.
“Pasukan serbuan kemudian membuat pencarian suspek dan PATI, namun gagal menjumpai mereka. Hasil pemeriksaan juga tiada menemui sebarang barangan terlarang di dalam SUV tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan polis.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan yang antaranya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. – UTUSAN










