KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru ahli kerabat diraja supaya menjaga nama baik dan tidak mengambil kesempatan atas nama kerabat untuk memperdaya orang lain demi kepentingan diri.
Baginda bertitah, setiap kerabat diraja mempunyai amanah untuk menjaga nama dan institusi diraja Selangor selain bertanggungjawab terhadap tingkah laku serta perbuatan yang boleh memberi kesan kepada pandangan masyarakat.
“Cara kita membawa diri, berinteraksi dengan masyarakat dan melaksanakan tanggungjawab hendaklah mencerminkan maruah serta kewibawaan keluarga dan institusi.
“Beta tidak berkenan jika ada dalam kalangan ahli kerabat beta mengambil kesempatan atas nama kerabat diraja untuk memperdaya mana-mana orang. Hormatilah undang-undang dan patuhilah segala peraturan yang berkuat kuasa. Kedudukan sebagai kerabat bukan alasan untuk bertindak sesuka hati.
“Atas kesedaran itu beta menyeru agar kita terus bersatu dengan kuat dalam memelihara martabat institusi raja serta memelihara kehormatan kerabat diraja Selangor. Tunjukkanlah teladan yang baik dan layanilah masyarakat dengan penuh berhemah,” titah baginda di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin berkenan mencemar duli hadir dan menyampaikan titah pada Majlis Jamuan Teh Bersama Kerabat Diraja Selangor Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Seramai 1,500 orang ahli kerabat diraja Selangor hadir pada majlis jamuan teh yang diadakan di Padang Mahkota, Istana Alam Shah.
Dalam masa sama, baginda turut mengingatkan supaya sebarang perbezaan pandangan atau salah faham diselesaikan dengan baik dan penuh kebijaksanaan serta mengelak daripada perbuatan mengadu domba.
Sultan Selangor turut menasihatkan supaya ahli menyebarkan berita yang tidak benar atau mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan sesama sendiri.
“Peliharalah tutur kata dan adab, termasuk ketika menggunakan media sosial, serta mengamalkan sikap saling memahami, bertolak ansur dan saling memaafkan.
“Beta juga menyeru agar ahli kerabat diraja saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain. Janganlah kita hanya berkumpul ketika majlis keraian semata-mata, tetapi hendaklah memberi sokongan ketika saudara kita berdepan dengan kesulitan dan masalah,” nasihat baginda.
Malah, baginda turut menyeru supaya yang tua membimbing dan menyantuni generasi muda serta saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain.
“Demikian dengan nilai, kasih sayang, hormat-menghormati dan tanggungjawab dapat diwarisi dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
“Beta berharap pertemuan pada hari ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih rapat sesama kita,” ujar baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menyarankan setiap ahli kerabat diraja Selangor supaya membaca buku Salasilah Keturunan, Sultan, Waris dan Kerabat Diraja Selangor bagi mengetahui sejarah dan susur-galur sebenar asal-usul Kesultanan Selangor. – UTUSAN











