PETALING JAYA: Jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly membuktikan keunggulannya masih belum tergugat apabila mempertahankan pingat emas acara T20 pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Latif meraih gelaran keempat berturut-turut dalam acara berkenaan sejak mula memenanginya pada edisi Incheon 2014.
Atlet berusia 29 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.39 meter (m) pada percubaan ketiga di Stadium Olahraga Mizuho, Nagoya, sekali gus mengesahkan pingat emas menjadi miliknya.
Lompatan tersebut turut menjadi catatan terbaik Latif pada musim ini memperbaiki pencapaian 7.94m ketika beraksi di Terbuka Kedah, Julai lalu.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara pada acara tersebut menyaksikan Eljoe Gotuoh dan Nik Mohd Zahari masing-masing menamatkan saingan di kedudukan keempat dan ketujuh daripada 13 peserta.
Itu merupakan pingat emas ketiga Malaysia pada temasya tersebut selepas Bonnie Bunyau Gustin memenangi powerlifting bagi kategori atas 72 kilogram (kg) dan atlet berbasikal para negara, Zuhairie Ahmad Tarmizi dalam acara ujian masa 1,000 meter (m) lelaki C4-5.











