PGA tahan 43 PATI cuba masuk Malaysia

PGA tahan 43 PATI cuba keluar Malaysia

HAKEMAL Hawari pada sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket penyeludupan migran yang turut menggunakan media sosial bagi mengiklankan aktiviti mereka itu tumpas hasil serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabak Bernam, Selangor Jumaat lalu.

Seramai 43 warga Indonesia yang dipercayai dibawa masuk secara haram melalui pesisir pantai Kampung Tebuk Jawa, Sabak Bernam ditahan dalam serbuan pada pukul 5.30 pagi itu.

Komander Briged Tengah PGA,  Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, turut ditahan oleh Pasukan Khas Delta itu, dua lelaki dewasa warga Indonesia yang dipercayai bertindak sebagai tekong laut.

Katanya, semua migran terdiri daripada 31 lelaki dan 12 wanita itu dipercayai berkumpul di pesisir pantai sebelum dibawa menaiki sebuah bot nelayan yang dipercayai datang dari Indonesia.

“Dalam operasi ini berlaku sedikit pergelutan apabila tekong cuba melarikan diri daripada ditahan namun situasi berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Briged Tengah PGA, Cheras di sini hari ini.

Hakemal berkata, sebuah bot nelayan dan dua unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan migran dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM51,000 turut dirampas.

Katanya, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, siasatan mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM3,000 bagi setiap individu untuk diseludup keluar masuk negara.

“Kami percaya lokasi penyeludupan ini sentiasa berubah dan sindiket akan menjadi lebih aktif menjelang musim perayaan,” jelasnya.

Katanya, PGA juga telah berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya menyekat iklan-iklan penyeludupan berkenaan di media sosial bagi mengekang aktiviti sindiket tersebut.

Dalam perkembangan lain, Hakemal berkata, Pasukan Khas Delta yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu telah berjaya menumpaskan 13 kes ATIPSOM setakat ini.

“Seramai 135 tangkapan di sepanjang perairan Selangor hingga Johor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN