PGA tumpaskan jual ayam sabung, rampasan lebih RM3 Juta

PGA tumpaskan jual ayam sabung, rampasan lebih RM3 Juta

Op Manok yang dijalankan serentak di 12 lokasi sekitar Kudat, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau oleh Pasukan Gerakan Am Sabah. - GAMBAR/IHSAN PGA SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah menumpaskan kegiatan pembiakan dan penjualan ayam sabung dalam Op Khazanah (Op Manok) yang dijalankan serentak di 12 lokasi sekitar Kudat, Keningau, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau.

Operasi bersepadu khas pada 14 Ogos itu melibatkan gabungan pasukan risikan dari Ibu Pejabat Briged Sabah bersama enam batalion PGA iaitu Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Keningau dan Kunak.

Komander PGA, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan terbesar dilaksanakan oleh Task Force Risik BN17 PGA di Lahad Datu yang membawa kepada rampasan bernilai RM795,775 selain penahanan dua lelaki tempatan.

“Secara keseluruhan, operasi ini berjaya menahan 15 individu melibatkan 11 lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,046,910.80,” katanya, di sini semalam.

Tambah beliau, beberapa individu lain turut ditahan di lokasi berasingan atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015, Seksyen 5(1) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Jadual Dua Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan Seksyen 13(1) Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Abdul Rani berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk aktiviti pembiakan ayam tanpa permit sah, penyeludupan ayam sabung serta operasi ladang ternakan tidak berlesen yang dipercayai digunakan bagi tujuan perjudian sabung ayam.

Beliau menegaskan, PGA akan terus komited menjalankan tugas menjaga keselamatan negara serta ketenteraman awam dengan penuh profesionalisme.

“Orang ramai dinasihatkan mendapatkan permit sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah bagi menjalankan aktiviti penternakan ayam, sekaligus mengelakkan salah laku dan penyalahgunaan yang boleh menjejaskan keselamatan masyarakat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN