PETALING JAYA: Gamuda Bhd. dijangka meraih lebih banyak kontrak baharu di Taiwan dengan memanfaatkan baki nilai kerja sementara kira-kira RM6.5 bilion yang masih belum dianugerahkan bagi projek Transit Aliran Massa (MRT) Xizhi-Donghu.
CGS International berkata, ini susulan kejayaan terbaharu syarikat tersebut memperoleh kontrak bernilai RM3.72 bilion bagi projek MRT Keelung.
Katanya, kontrak reka bentuk dan pembinaan itu diperoleh menerusi usaha sama dengan rakan kongsi Taiwan, MiTAC Information Technology Corp (MITAC), daripada Department of Rapid Transit Systems di bawah Kerajaan Bandar New Taipei.
“Gamuda memegang kepentingan sebanyak 72.84 peratus dalam usaha sama itu, menjadikan bahagian kontraknya bernilai kira-kira RM2.7 bilion, manakala baki 27.16 peratus dipegang MITAC.
“Projek itu merangkumi kerja-kerja landasan dan sistem sepanjang jajaran 15.6 kilometer yang melibatkan 13 stesen di Bandar Taipei, Bandar New Taipei dan Bandar Keelung, dengan tempoh pelaksanaan melebihi 7.7 tahun,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan berkata, projek MRT Keelung merupakan antara kerja tambahan yang ditetapkan bagi projek MRT Xizhi-Donghu, yang diperoleh Gamuda pada 22 Oktober 2024 dengan nilai kerja sementara kira-kira RM10 bilion.
“Kemenangan kontrak terbaharu itu merupakan projek infrastruktur ke 11 Gamuda di Taiwan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran infrastruktur negara itu.
“Selain MRT Keelung, projek infrastruktur Gamuda di Taiwan merangkumi projek bawah tanah Tao Yuan, Laluan Kuning MRT Kaohsiung YC01 dan MRT Xizhi-Donghu,” ujarnya.
Menurut CGS International, projek MRT Keelung dilaksanakan berasaskan kaedah kos tambah (cost-plus), dengan margin keuntungan sebelum cukai dijangka sebanyak lapan peratus.
Tambahnya, perolehan itu meningkatkan nilai kontrak baharu Gamuda bagi tahun kewangan 2027 setakat ini kepada RM13.2 bilion, manakala buku pesanannya meningkat kepada RM63.9 bilion setakat Oktober 2026.
“Taiwan kini menyumbang 21 peratus daripada keseluruhan buku pesanan Gamuda, manakala Malaysia, Australia dan Singapura masing-masing menyumbang 41 peratus, 35 peratus dan tiga peratus.
“Pada taklimat penganalisis September lalu, Gamuda menyatakan keyakinan untuk mengekalkan kemenangan kontrak baharu bernilai RM30 bilion hingga RM35 bilion bagi tahun kewangan 2027, berbanding RM35 bilion pada tahun kewangan 2026 dan RM25 bilion pada tahun kewangan 2025.
“Syarikat itu turut mengunjurkan pertumbuhan hasil pembinaan sebanyak 60 peratus bagi tahun kewangan 2027, berdasarkan sokongan buku pesanan sedia ada dengan mengambil kira sumbangan minimum daripada kontrak baharu,” jelasnya.
Katanya, setakat Oktober 2026, kira-kira 90 peratus daripada buku pesanan Gamuda masih berada pada peringkat awal pelaksanaan, dengan kemajuan kerja antara sifar hingga 25 peratus.
Jelasnya, aliran projek yang kukuh di dalam dan luar negara dijangka membolehkan Gamuda menutup tahun kalendar 2026 dengan buku pesanan RM60 bilion, iaitu 20 peratus melebihi sasaran syarikat itu.
CGS International mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM6.40, berdasarkan kaedah jumlah bahagian, dengan bahagian pembinaannya dinilai pada nisbah harga kepada perolehan sebanyak 19 kali bagi tahun kewangan 2027. – UTUSAN










