PETALING JAYA: KUALA LUMPUR: Gamuda Berhad (Gamuda) menerusi anak syarikat tidak langsung miliknya, Gamuda Engineering Pty Ltd (GE Australia), meraih kontrak bernilai AUD$624 juta (kira-kira RM1.8 bilion) bagi projek menaik taraf jalan raya di Sydney Barat, Australia.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, projek Elizabeth Drive Upgrade – Mamre Road Upgrade Stage 2 itu dianugerahkan oleh Transport for New South Wales (TfNSW) kepada usahasama Gamuda BMD Joint Venture (GBJV).
GBJV merupakan syarikat usaha sama bertaraf 50:50 antara GE Australia dan firma pembinaan swasta Australia, B.M.D Constructions Pty Limited (BMD).
“Menerusi pegangan 50 peratus dalam usaha sama itu, Gamuda dijangka meraih perolehan bernilai AUD$312 juta (kira-kira RM908 juta) daripada keseluruhan nilai kontrak berkenaan.
“Kontrak berasaskan reka bentuk dan bina itu merangkumi kerja-kerja awam dan struktur sepanjang 4.5 kilometer (km) bagi Elizabeth Drive dan 3 km bagi Mamre Road di Kemps Creek, Sydney Barat, selain kerja berkaitan pemindahan utiliti,” katanya.
Projek bernilai keseluruhan AUD$2 bilion yang dibiayai bersama oleh Kerajaan Australia dan New South Wales itu dijadualkan bermula pada 21 September 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Mengulas lanjut, Gamuda berkata, penganugerahan projek berkenaan merupakan pencapaian signifikan yang memperkukuh keupayaan reka bentuk dan pembinaan kumpulan dalam sektor jalan raya di Australia, selain mengukuhkan keyakinan terhadap rekod prestasi GE Australia.
“Projek ini dibina berasaskan kejayaan portfolio jalan raya sedia ada GE Australia di New South Wales seperti Coffs Harbour Bypass, M1 Pacific Motorway Extension dan Richmond Road M7 Upgrade,” katanya.
Menurut kumpulan itu, prospek sektor jalan raya di kawasan berkenaan amat berpotensi berikutan lokasinya yang terletak di rantau Sydney Barat yang sedang berkembang pesat berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Barat yang bakal siap tidak lama lagi.
Dari segi impak kewangan, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan dan pendapatan Kumpulan Gamuda sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Tambahnya, pelbagai langkah mitigasi risiko termasuk peruntukan penampan inflasi dan kontingensi telah diambil bagi menangani risiko pembinaan, kenaikan kos serta cabaran pasaran tenaga kerja. – UTUSAN











