PETALING JAYA: Penganalisis Maybank Investment Bank menjangkakan pendapatan Gamuda Bhd. pada separuh kedua lebih kukuh, didorong kemajuan kerja projek kejuruteraan dan pembinaan Australia serta prospek hartanahnya.
Firma penyelidikan itu berkata, Keuntungan Bersih Korporat (CNP) suku kedua 2024 meningkat tujuh peratus tahun ke tahun dan lima peratus pada separuh pertama 2024.
Pendapatan kejuruteraan dan pembuatan (E&C) meningkat 47 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua dan 90 peratus dalam separuh pertama.
“Ia terutamanya disumbangkan oleh projek-projek di Australia kerana kerja-kerja SMW-WT mencapai 48 peratus penyelesaian (berbanding dengan 37 peratus akhir tahun kewangan 2023), Coffs Harbour 20 peratus (berbanding dengan 11 peratus) dan M1 sebanyak 15 peratus (berbanding dengan empat peratus) serta tempoh kewangan semasa termasuk penyatuan penuh DTI.
“Ia menyeimbangkan sumbangan yang lebih perlahan dari Malaysia selepas penyelesaian Laluan Transit Cepat Lebuhraya Lembah Klang Fasa 2 (KVMRT2).
Sementara itu, menurut firma itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) E&C turun 10 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua, namun naik 2.0 peratus dalam separuh pertama disebabkan margin lebih rendah daripada projek luar negara.
“Projek luar negara itu membawa margin campuran kepada 5.7 peratus dalam suku kedua (-3.6 peratus) dan 5.8 peratus dalam separuh pertama (-5.0 peratus) tahun ke tahun.
Bagi PBT hartanah pula, meningkat 33 peratus dalam suku kedua dan 39 peratus dalam separuh pertama atas penagihan kemajuan yang lebih kukuh serta disumbangkan oleh jualan rekod sebanyak RM2.2 bilion dalam tahun kewangan 2023.
Kelmarin, Gamuda mengumumkan pendapatan pada suku kedua melonjak 53 peratus kepada RM3.4 bilion berbanding RM2.2 bilion yang dicatatkan semasa tahun lalu, manakala keuntungan bersih suku tahunan meningkat tujuh peratus kepada RM209 juta.
Pendapatannya untuk setengah tahun naik hampir dua kali ganda kepada RM6.2 bilion daripada RM3.7 bilion pada tahun sebelum ini, manakala keuntungan bersihnya menokok 19 peratus kepada RM404 juta.
Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur serantau itu mengaitkan prestasinya yang lebih mantap kepada hasil luar negara dan keuntungan bersihnya bertambah baik disebabkan oleh peningkatan dalam projek luar negara terutamanya di Australia. – UTUSAN










