JOHOR BAHRU: Seramai 104 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menerusi Operasi Sapu yang dijalankan di sebuah kawasan penempatan setinggan di sekitar bandar raya ini, awal pagi semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, operasi yang dijalankan seramai 121 pegawai dan anggota penguat kuasa pelbagai pangkat itu bermula pukul 2 pagi.
Katanya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan serta aduan awam diterima mengenai kehadiran PATI di kawasan berkenaan.
“Semasa serbuan, puluhan warga asing pelbagai warganegara berusia antara 2 bulan hingga 63 tahun dilaporkan bertindak cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas anggota penguatkuasa mengepung sepenuhnya kawasan terbabit.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, 44 wanita dewasa serta enam kanak-kanak perempuan melibatkan warga Indonesia serta seorang wanita dewasa Filipina,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN










