PETALING JAYA: Ketidaktentuan pasaran saham Asia kembali memuncak apabila kejatuhan mendadak pasaran Indonesia mencetuskan kebimbangan terhadap penularan risiko serantau, sekali gus menghidupkan semula kebimbangan mengenai kemungkinan berulangnya kejatuhan pasaran seperti Black Monday.
Indeks penanda aras saham Jakarta (JKSE) jatuh lebih daripada lima peratus pada sesi dagangan awal, merosot ke paras terendah dalam tempoh enam tahun, susulan kejatuhan mendadak sebanyak 11.6 peratus pada Jumaat lalu.
Pada masa sama, nilai mata wang rupiah turut susut susulan amaran daripada MSCI mengenai kemungkinan penyingkiran Indonesia daripada indeks globalnya pada tahun hadapan.
Pasaran yang mencatatkan prestasi terburuk di dunia ini terjejas teruk selepas MSCI menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menukar status Indonesia daripada kategori ‘pasaran sedang pesat membangun’ kepada status ‘pasaran berdiri sendiri.’
Dalam pada itu, purata saham Nikkei 225 menjunam 2.05 peratus kepada 63,984.45 pada awal dagangan, berikutan aktiviti penjualan besar-besaran saham teknologi Amerika Syarikat (AS) serta kenaikan harga minyak yang meningkatkan kebimbangan mengenai inflasi dan kemungkinan kadar faedah yang lebih tinggi.
Sementara itu, Singapore Exchange (SGX) susut 7.17 mata kepada 5,408.36, manakala Korea Composite Stock Price Index (KOSPI) naik 99.96 mata kepada 5,768.01 sehingga 5.01 petang semalam.
Di Malaysia, FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) turut susut 12.01 mata kepada 1,595.75 pada 5 petang semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi semasa adalah berbeza dengan keadaan 1997 dan 1998 semasa berlakunya Krisis Kewangan Asia.
Katanya, sistem perbankan negara berada dalam keadaan yang sihat buat masa ini dengan kedudukan modal yang stabil serta harap kecairan yang tinggi.
“Sebagai contoh, nisbah pembiayaan tidak berbayar adalah rendah iaitu 1.44 peratus setakat bulan Ogos 2026 berbanding 20 peratus pada tahun 1998.
“Selain itu, sistem perbankan juga mempunyai modal yang lebih daripada mencukupi serta tahap kecairan yang tinggi disamping Rizab Antarabangsa yang tinggi.
“Justeru, ekonomi Malaysia berada dalam keadaan yang baik bagi menghadapi cabaran ekonomi luaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sememangnya apa yang berlaku di Indonesia boleh memberi kesan kepada sentimen para pelabur asing terutamanya apabila rantau ini dilihat secara kolektif.
“Justeru, komunikasi strategik terutamanya dengan pengurusan dana serta para penganalisis ekonomi dan pasaran adalah penting bagi memastikan naratif pembangunan negara dapat disampaikan dengan jelas dan diterjemahkan melalui penyertaan para pelabur asing yang tinggi,” ujarnya.
Penganalisis Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, kejatuhan nilai rupiah dan pasaran saham Indonesia berpunca daripada krisis kepimpinan di negara itu yang mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan rakyat dan pelabur.
Beliau berkata, rata-rata rakyat Indonesia menyatakan ketidakpuasan hati dan menyesal kerana memilih Prabowo Subianto sebagai Presiden Indonesia dalam pilihan raya.
“Negara-negara di rantau ini tiada tinjauan khusus mengenai tahap keyakinan penduduk dan pelabur terhadap Indonesia.
“Justeru, apabila krisis seperti ini berlaku, pelabur cenderung menarik keluar pelaburan sedia ada dan tidak membuat pelaburan baharu kerana bimbang terhadap ketidaktentuan politik, termasuk kemungkinan berlakunya demonstrasi seperti protes baju merah dan sebagainya.
“Keadaan itu boleh menjejaskan aliran tunai serta keyakinan peruncit dan pengguna, sekali gus menyebabkan kemerosotan ekonomi berterusan,” jelasnya.
Beliau berkata, situasi itu bukan krisis serantau, sebaliknya Indonesia berdepan masalah tersendiri, manakala negara lain turut berhadapan cabaran berkaitan tenaga dan ketidaktentuan harga minyak.
“Bagi Malaysia, negara mempunyai pelan simpanan minyak dan merupakan pengeksport minyak, sekali gus memberikan sedikit perlindungan daripada kejutan bekalan tenaga. Namun, Malaysia tetap terkesan dengan kenaikan harga minyak, termasuk dari segi beban yang ditanggung kerajaan.
“Keadaan Indonesia juga sedikit berbeza kerana negara itu tidak mempunyai pelan sokongan bekalan minyak yang kukuh, selain berdepan isu kepimpinan,” katanya. – UTUSAN











