KUALA LUMPUR: Sejumlah 5,016 syarikat pemula niaga tempatan merekodkan nilai jualan RM202.64 bilion sejak pelancaran inisiatif KL20 pada 2024, namun cabaran seterusnya adalah memastikan pertumbuhan ekosistem itu diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, pengembangan perniagaan dan manfaat ekonomi yang lebih meluas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pencapaian itu direkodkan susulan pelaksanaan inisiatif KL20, yang turut menyaksikan kira-kira RM51 bilion pelaburan disalurkan ke dalam ekosistem startup dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, perkembangan itu menjadi asas penting untuk memperkukuh keupayaan syarikat tempatan mengembangkan operasi, menembusi pasaran baharu dan mengkomersialkan inovasi yang mampu menjana nilai ekonomi.
“Aspirasi KL20 bukan sekadar meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ekosistem startup global, tetapi membina persekitaran yang membolehkan pengasas mengembangkan perniagaan dari dalam negara.
“Sehubungan itu, kerajaan menyasarkan nilai keseluruhan startup Malaysia mencapai RM400 bilion menjelang 2030, selain meningkatkan pelaburan modal teroka tahunan kepada kira-kira RM750 juta,” katanya pada sidang media KL20 di The Campus Ampang, di sini semalam.
Akmal berkata, sasaran untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok 20 ekosistem pemula niaga (startup) terbaik dunia menjelang 2030 turut menuntut penambahbaikan berterusan, memandangkan negara kini berada sekitar kedudukan ke-30 di peringkat global.
Katanya, Malaysia mempunyai lebih 5,000 startup berdaftar, termasuk kira-kira 1,600 syarikat yang ditubuhkan dalam tempoh dua tahun sejak 2024.
Bagaimanapun, pertambahan bilangan syarikat itu perlu disusuli keupayaan untuk meningkatkan skala operasi dan mengkomersialkan idea agar pertumbuhan ekosistem berkenaan menghasilkan impak ekonomi yang lebih ketara.
“Antara cabaran yang perlu ditangani ialah kesukaran mendapatkan pembiayaan, akses kepada pasaran dan kekangan untuk meningkatkan skala operasi, terutama bagi syarikat yang masih berada pada peringkat awal pembangunan.
“Penyertaan pelabur swasta perlu dipertingkatkan kerana pembiayaan kerajaan sahaja tidak mampu menampung keseluruhan keperluan ekosistem berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktor menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Akmal berkata, Malaysia menyasarkan penghasilan 100,000 pekerja berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor menjelang 2030, manakala Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) setakat ini telah melahirkan kira-kira 1,500 tenaga mahir atau jurutera.
“Usaha membangunkan ekosistem industri ini perlu diteruskan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan menyokong pertumbuhan sektor semikonduktor negara,” katanya.
Menurutnya, pembangunan startup juga perlu disesuaikan dengan kekuatan ekonomi setiap wilayah bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan sedia ada, termasuk industri semikonduktor dan kejuruteraan di Pulau Pinang serta industri kreatif dan peluang rentas sempadan di Johor.
Pada masa sama, kerajaan mahu menggalakkan pembangunan penyelesaian berasaskan teknologi dan bukan teknologi bagi memenuhi keperluan masyarakat, termasuk menangani cabaran perubahan demografi ketika Malaysia bergerak ke arah status negara menua.
Pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan ekosistem startup bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan nilai perniagaan dan kedudukan global, malah turut menyumbang kepada produktiviti, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta penyelesaian kepada keperluan ekonomi dan masyarakat. – UTUSAN











