KLANG: Lorong Kepayang dan ‘Bus Stand’ Klang yang menjadi pusat tumpuan warga asing pada hujung minggu diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu, di sini, hari ini.
Dalam serbuan yang bermula pada pukul 12 tengah hari itu, warga asing di sana dilihat cuba melarikan diri selepas terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa yang menahan mereka secara rambang untuk diperiksa.
Malah, ada antara mereka cuba melarikan diri walaupun sudah ditahan dan dikumpulkan di dalam kawasan lapang antara tiga blok bangunan rumah kedai, namun akhirnya berjaya ditahan.
Seorang peniaga tempatan yang enggan dikenali, berasal dari Kampung Batu Belah berkata, Lorong Kepayang dan Bus Stand yang terletak di tengah-tengah Pusat Bandar Klang itu sememangnya tempat tumpuan mereka pada hujung minggu.
“Di situ terdapat pelbagai barangan dijual dari pakaian hinggalah keperluan yang kebanyakannya dibeli sama ada untuk digunakan sendiri dan juga dibawa pulang ke kampung halaman di negara asal mereka.
“Ia sudah berlarutan lebih 10 tahun rasanya, sebab saya pun sudah lama berniaga di sini bersama ibu. Selain itu ada juga warga asing yang menjual barangan cuma tak pastilah mereka benar-benar ada lesen atau tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, situasi kesesakan golongan pendatang itu sememangnya membimbangkan, namun terpaksa ‘menelan’ rasa takut demi mencari rezeki.
“Memanglah rasa takut, sebab itu saya buka kedai jual pelbagai barangan dan minuman hanya sampai petang. Malam tak buka. Tetapi, setakat hari ini tak pernah lagi nampak mereka terlibat dalam masalah gaduh atau jenayah lain,” ujarnya.
Operasi yang dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu memeriksa lebih 1,000 warga asing yang ditahan.
Mereka terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan negara lain serta pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Sementara itu, seorang warga emas berusia 70-an bekerja sebagai pemandu teksi di kawasan tersebut memberitahu warga asing antara pelanggan utamanya.
“Kalau dari tempat lain hendak ke kawasan ini selalunya memang warga asing yang akan naik teksi saya. Dekat sinilah mereka beli pelbagai barangan keperluan kemudian pulang juga dengan menaiki teksi saya. Dulu pun pernah kena serbu, kemudian mereka datang balik.
“Dekat sini memang cukup meriah dengan kehadiran mereka, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan. Menjelang Hari Raya, Lorong Kepayang memang kena ‘serbu’ dengan warga asing sama ada untuk mereka sendiri atau dibawa pulang ke kampung,” ujarnya. – UTUSAN










