Perdagangan Malaysia cecah RM2.91 trilion dalam sembilan bulan - Utusan Malaysia

Perdagangan Malaysia cecah RM2.91 trilion dalam sembilan bulan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 30.1 peratus tahun ke tahun kepada RM2.91 trilion bagi tempoh Januari hingga September 2026, didorong pertumbuhan eksport sebanyak 34 peratus kepada RM1.571 trilion dan import sebanyak 25.7 peratus kepada RM1.339 trilion.

Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM232.38 bilion, meningkat 115.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan dua digit eksport sektor perkilangan dan hasil galian.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, barangan elektrik dan elektronik (E&E) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan eksport dengan nilai eksport meningkat hampir RM254 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, prestasi itu didorong permintaan global yang berterusan terhadap semikonduktor, peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) serta penggunaan teknologi digital yang semakin meluas.

“Pertumbuhan eksport turut disokong keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan logam.

“Sementara itu, peningkatan eksport bijih logam dan serpihan logam serta gas asli cecair (LNG) menyumbang kepada prestasi positif sektor hasil galian,” katanya dalam kenyataan.

Dari segi pasaran, eksport Malaysia turut mendapat manfaat daripada peningkatan penghantaran ke rakan dagang utama, termasuk ASEAN, Republik Rakyat China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah.

MATRADE berkata, pertumbuhan eksport turut meluas ke pasaran rakan dagang di bawah perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia, mencerminkan permintaan lebih kukuh di Hong Kong, Jepun, India, Republik Korea, Australia, Mexico, Türkiye, United Kingdom, Kanada dan Peru.

“Prestasi perdagangan luar Malaysia turut mencatatkan pencapaian luar biasa pada September 2026 apabila jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing merekodkan nilai bulanan tertinggi pernah dicatatkan.

“Jumlah perdagangan melonjak 53.7 peratus tahun ke tahun kepada RM396.50 bilion, disokong pertumbuhan kukuh melebihi 50 peratus dalam eksport dan import.

“Eksport melonjak 54.5 peratus kepada RM215.11 bilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas sejak April 2021 dan buat kali pertama melepasi RM200 bilion.

“Sementara itu, import meningkat 52.7 peratus kepada RM181.39 bilion. Malaysia turut mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM33.72 bilion, meneruskan trend lebihan selama 77 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

MATRADE berkata, momentum perdagangan positif bagi tempoh Januari hingga September 2026 selaras dengan prospek perdagangan luar dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang menggalakkan.

Katanya, menurut Tinjauan Ekonomi 2027 oleh Kementerian Kewangan (MOF), jumlah perdagangan Malaysia diunjurkan berkembang 27.2 peratus pada 2026, dengan eksport meningkat 31 peratus dan import bertambah 23.1 peratus.

“Dari segi ekonomi, MOF mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 antara 4.8 peratus hingga 5.3 peratus.

“Bank Dunia turut menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 5.1 peratus berbanding 4.4 peratus pada April 2026.

“Pada peringkat global, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menyemak naik unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan dunia bagi 2026 kepada 3.9 peratus berbanding 1.9 peratus pada Mac 2026,” katanya.

Bagaimanapun, MATRADE berkata, prospek perdagangan Malaysia masih terdedah kepada ketidaktentuan susulan perubahan dasar perdagangan oleh ekonomi utama dan ketegangan geopolitik, khususnya konflik berterusan di Asia Barat.

Katanya, perkembangan itu berpotensi mengganggu aliran perdagangan global serta meningkatkan tekanan kos.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Matrade akan terus memantau perkembangan ini, memperkukuh kepelbagaian pasaran, memperluas akses ke pasaran berpertumbuhan tinggi serta membantu pengeksport Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perdagangan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini