PETALING JAYA: Tindakan Parti Bersama Malaysia (Bersama) ‘merehatkan’ bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan menunjukkan kesediaan parti itu menangani kontroversi yang melibatkan kepemimpinannya.
Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Tawfik Yaakub berkata, sebagai sebuah parti baharu, tidak dinafikan Bersama masih banyak bergantung kepada ketokohan pemimpin seperti Nik Nazmi yang menjadi antara wajah utamanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, masa depan Bersama tidak boleh dinilai berdasarkan satu kontroversi semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekuatan organisasi dan keupayaan parti membina keyakinan masyarakat secara berterusan.
“Isu ini bagaimanapun boleh memperlihatkan cabaran yang dihadapi oleh parti yang terlalu bergantung kepada populariti individu berbanding kekuatan institusi.
“Bersama perlu membuktikan bahawa parti tersebut mempunyai barisan kepimpinan yang lebih luas, struktur organisasi yang berfungsi dan dasar yang jelas untuk diketengahkan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 17 Oktober lalu, Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab memaklumkan bahawa Nik Nazmi direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.
Menurut Syukri, parti itu memandang serius perkembangan berkenaan dan berpendirian bahawa sebarang isu membabitkan kepimpinan serta anggotanya perlu ditangani secara sewajarnya.
Tindakan itu menyusul selepas Nik Nazmi mengesahkan beliau seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atas dakwaan berkhalwat di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad Tawfik berkata, kontroversi berkenaan berpotensi mengganggu momentum politik Bersama, khususnya ketika parti itu masih dalam proses membina identiti, kredibiliti dan penerimaan masyarakat.
Katanya, dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, isu tersebut juga boleh menjadi cabaran komunikasi politik apabila Bersama perlu memberikan penjelasan kepada masyarakat ketika sedang memperkenalkan parti itu.
Namun, beliau berkata, kesan sebenar kontroversi tersebut terhadap sokongan pengundi masih belum dapat dipastikan tanpa kajian empirikal. – UTUSAN











