KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak perlu malu untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya sistem percukaian itu mampu menjamin hasil negara serta memperkukuh ekonomi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan perlu menetapkan hala tuju percukaian yang jelas dan tidak membiarkan ketidakpastian berhubung pelaksanaan cukai berlarutan sehingga menyukarkan perancangan dunia perniagaan.
“Tidak perlu malu guna balik GST, jangan malu sembunyi-sembunyi. Tahu dulu masa pembangkang dah tolak habis-habisan, jadi kalau hendak guna balik, malu.
“Buat sahaja, selamatlah negara kita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Hamzah berkata, sebelum pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan sedang mengkaji sistem cukai hibrid antara GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Bagaimanapun, katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula menyatakan UMNO mahu GST dikembalikan, manakala Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini memaklumkan elemen GST akan diserapkan ke dalam SST.
Beliau mempersoalkan mengapa isu berkenaan tidak disentuh dalam Belanjawan 2027 sedangkan beberapa kenyataan berbeza dikeluarkan pemimpin kerajaan.
Katanya, ketidakpastian mengenai sistem percukaian boleh menyukarkan sektor perniagaan membuat perancangan berkaitan harga, kos pengeluaran, pelaburan dan rantaian bekalan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan pendirian secara menyeluruh sekiranya melihat manfaat dalam mekanisme GST, bukannya sekadar mengambil beberapa elemen sistem itu untuk diserapkan ke dalam SST tanpa penjelasan terperinci.
“Jika yakin sistem sedia ada mencukupi, jelaskan dengan bukti. Jika ada keperluan untuk perubahan, bentangkan pelan yang lengkap,” katanya.
Hamzah berkata, sebarang pertimbangan untuk mengembalikan GST juga perlu mengambil kira pengalaman lalu, termasuk penetapan kadar cukai yang munasabah supaya tidak membebankan rakyat.
Pada masa sama, beliau menegaskan hasil kutipan cukai perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi penyediaan perkhidmatan awam yang lebih baik, termasuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan keselamatan.
Katanya, sebarang perubahan sistem percukaian perlu disertai jaminan bahawa hasil yang dikutip memberi manfaat nyata kepada rakyat, bukan sekadar meningkatkan pendapatan kerajaan. – UTUSAN











