KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berdepan cabaran menterjemahkan pencapaian pentadbiran kerajaan kepada sokongan politik yang kukuh apabila prestasi ekonomi masih belum mencerminkan sentimen sebenar pengundi .
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, naratif perkauman khususnya berkaitan perpaduan Melayu berpotensi mencetuskan momentum sokongan politik yang kuat sehingga mengatasi pertimbangan pengundi terhadap pencapaian ekonomi dan pembangunan negara.
Katanya, PH masih belum cukup mampu meraih sokongan politik dengan mengambil kira rekod tiga pilihan raya negeri (PRN) meskipun meskipun ekonomi mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan di mana ekonomi berkembang 5.2 peratus manakala inflasi kekal berada pada 1.4 peratus.
“Ia terbukti apabila PH kalah di Negeri Sembilan dan Melaka. Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu Datuk Seri Aminuddin Harun, ADUN tiga penggal, Menteri Besar dua penggal, bawa pembangunan di Negeri Sembilan tetapi kalah.
“Begitu juga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, ADUN tiga penggal dan Menteri Kerajaan Persekutuan tetapi kalah di Chennah. Adly Zahari yang merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Timbalan Menteri Pertahanan, mantan Ketua Menteri Melaka juga kalah
“Ertinya calon calon yang baik dan winnable seperti Aminuddin Harun, Anthony Loke dan Adly tetap kalah apabila pengundi BN dan pengundi PN bergabung menolak PH,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang genap empat tahun hari ini disifatkan sebagai paling stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
Tempoh pentadbiran Anwar yang lebih lama berbanding tiga orang Perdana Menteri sebelum ini jelas menunjukkan kestabilan yang ada hingga dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang konsisten di samping mengukuhkan kedudukannya.
Sejak menerajui negara pada 24 November 2022, Anwar diakui berdepan pelbagai cabaran termasuk memulihkan ketidakstabilan, mengembalikan keyakinan ekonomi, menangani tekanan kos sara hidup serta memastikan politik stabil ekoran kerajaan tergantung se lepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas lanjut, Hasan berkata, beliau mengakui kerajaan hari ini tidak sempurna dan banyak kelemahan kerana tidak banyak yang PH mampu lakukan dalam tempoh setahun berbaki sebelum PRU-16.
“Tetapi dalam tempoh empat tahun ini negara aman, Malaysia negara yang selamat diduduki, Ekonomi berkembang, ringgit kukuh, pelaburan asing beratus billion ringgit masuk, tiada projek mega dibangunkan.
“Saya tidak pandai meramal apa kesudahannya PRU-16 nanti. Yang jelas rakyat akan dapat Kerajaan yang diundinya.
“Pada PRU-16 nanti, satu hal yang akan rakyat fikirkan ialah siapa pengganti Perdana Menteri yang lebih baik dari Anwar Ibrahim?” soalnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, keyakinan rakyat bukan sekadar bergantung pada angka pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pada integriti pentadbiran, keadilan dan kesungguhan menunaikan janji.
Katanya, apabila kepercayaan rakyat terhakis, angka ekonomi yang memberangsangkan sekalipun belum tentu mampu memulihkannya.
“Kajian bebas Merdeka Center yang diterbitkan pada 25 Jun 2026 menunjukkan 73 peratus responden menganggap ekonomi sebagai masalah terbesar, 51 peratus tidak berpuas hati dengan pengurusan ekonomi kerajaan, manakala 50 peratus berpandangan negara sedang menuju ke arah yang salah.
“Malah, laporan IMF pada Februari 2026 menunjukkan gaji sebenar pemegang ijazah masih berada di bawah paras sebelum pandemik, sementara peningkatan gaji tidak seiring dengan produktiviti. Inflasi yang rendah pula tidak bermakna harga barangan semakin murah, sebaliknya harga secara keseluruhan terus meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
“Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan tidak semestinya mencerminkan kesejahteraan sebenar rakyat,” katanya.
Katanya lagi, perkara ini ditambah pula dengan pelbagai persoalan mengenai tatakelola dan integriti pentadbiran, termasuk kontroversi Zetrix yang membawa kepada pembukaan kertas siasatan polis berhubung kutipan hasil kerajaan sebanyak RM230.9 juta.
“Dakwaan kemunculan jutawan segera, dakwaan berkaitan ‘mafia korporat’ serta janji-janji reformasi yang belum ditunaikan sepenuhnya. Semua ini memerlukan penjelasan yang telus dan meyakinkan,” katanya. – UTUSAN











