TNB, PTP jalin kerjasama pacu penggunaan tenaga hijau - Utusan Malaysia

TNB, PTP jalin kerjasama pacu penggunaan tenaga hijau

KAMAL Ariffin (kiri) menyerahkan simbolik sijil langganan GET kepada Mark Hardiman disaksikan oleh Shamsul Ahmad (tengah) di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalinkan kerjasama strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), ahli Kumpulan MMC, bagi mempercepat agenda penyahkarbonan negara menerusi penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas.

Menerusi kerjasama di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET), PTP melanggan 16,000 blok GET bersamaan 16 gigawatt-jam (GWj) tenaga hijau diperakui setiap bulan bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027.

Langkah itu menjadikan PTP pelanggan GET terbesar dalam kalangan pelabuhan di Malaysia setakat ini, selain membolehkan pelabuhan berkenaan beralih kepada penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu bagi bekalan elektriknya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, syarikat itu komited memperluas akses perniagaan kepada penyelesaian tenaga boleh baharu bagi menyokong matlamat alam sekitar dan daya saing jangka panjang.

Katanya, kerjasama itu menjadi pemangkin kepada peralihan tenaga dalam sektor maritim dan logistik, khususnya bagi menyokong usaha Malaysia mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050 seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

“Komitmen ini menunjukkan bagaimana perniagaan di Malaysia dapat memainkan peranan bermakna dalam memacu peralihan tenaga negara, di samping memperkukuh daya saing sektor ekonomi utama,” katanya dalam kenyataan. 

Penyerahan simbolik sijil langganan GET disempurnakan Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Kamal Arifin A. Rahman kepada Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Mark berkata, langganan GET bukan sekadar perjanjian kontrak, sebaliknya mencerminkan komitmen syarikat untuk menerajui usaha kemampanan dalam sektor maritim.

Menurutnya, pengintegrasian GET dalam operasi PTP mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu dan menjadi langkah penting ke arah mencapai sasaran pengurangan karbon menjelang 2030.

“Inisiatif itu membuktikan kecemerlangan operasi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar boleh bergerak seiring sebagai pemacu pertumbuhan serta daya tahan perniagaan dalam persekitaran global yang sentiasa berubah.

“Penyertaan dalam program GET membolehkan PTP menyokong secara langsung pertumbuhan penjanaan tenaga boleh baharu di Malaysia, sekali gus memastikan operasi terminal kami yang berskala besar menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih dan hijau,” katanya.

Kerjasama tersebut menggabungkan akses kepada tenaga boleh baharu yang diperakui menerusi TNB dengan komitmen PTP untuk mengurangkan pelepasan karbon, sekali gus menyokong usaha mencapai sasaran kemampanan negara.

Program GET membolehkan pelanggan TNB menggunakan tenaga boleh baharu yang diperakui dengan membayar tarif asas elektrik bersama premium hijau berperingkat. 

Pelanggan turut menerima Sijil Tenaga Boleh Baharu Malaysia (mREC) setiap tahun berdasarkan langganan masing-masing.

Menerusi penyertaan itu, PTP menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 sebelum mencapai pelepasan sifar bersih pada 2050.

Penyertaan berkenaan turut memperkukuh kedudukan PTP sebagai hab pemindahan muatan global yang mampan, selain menjadi penanda aras baharu bagi penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor maritim dan logistik negara.

Kerjasama itu turut menyokong usaha Malaysia memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan pelepasan karbon merentas sektor ekonomi, khususnya industri yang menggunakan tenaga secara intensif.

Sebagai hab ekonomi utama di Johor, penyertaan PTP dijangka menyokong aspirasi ekonomi hijau negeri itu, di samping memperkukuh peranan pengendali infrastruktur utama dalam memacu pertumbuhan mampan.

Pada masa sama, kerjasama berkenaan mengukuhkan kedudukan TNB sebagai rakan strategik kepada sektor industri dalam usaha menyahkarbonkan infrastruktur kritikal negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini