Jadikan sempadan negara kedap PATI

Jadikan sempadan negara kedap PATI

KITA boleh jadikan sempadan negara kedap PATI dengan meningkatkan kawalan sempadan maritim dan darat, termasuk juga pintu masuk di lapangan terbang, stesen kereta api, stesen bas dan pelabuhan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU segmen berita memaparkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang menjalankan operasi menyerbu dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) di bawah kempen Tiada Hari Tanpa Operasi.

Kebanyakan tangkapan dibuat di bandar-bandar besar, di mana ramai PATI mencari rezeki kerana peluangnya besar dan pendapatannya lebih tinggi. Ia umpama banyak semut menghurung gumpalan nasi lebih manis.

Jika bekas kedap semut digunakan untuk menyimpan nasi, sudah tentu semut tidak akan hurung nasi saya.

Sebagai analogi kepada semut menghurung nasi, saya berkata di dalam hati, sekiranya Malaysia mempunyai sempadan yang kedap PATI, sudah tentu tiada PATI dapat masuk ke dalam negara.

Malaysia mempunyai sempadan maritim yang panjang dan sempadan darat dengan Thailand, Brunei serta Kalimantan (Indonesia). Tidak lama lagi dunia akan dilanda fenomena Super El Nino.

Jika sungai-sungai di sempadan negara menjadi kering, misalnya Sungai Golok, PATI tidak perlu menaiki bot atau sampan lagi. Mereka boleh berjalan kaki sahaja untuk merentas sempadan negara.

Ini akan menambah kesukaran kepada pihak berkuasa untuk membendung kemasukan PATI.
Kita boleh jadikan sempadan negara kedap PATI dengan meningkatkan kawalan sempadan maritim dan darat, termasuk juga pintu masuk di lapangan terbang, stesen kereta api, stesen bas dan pelabuhan.

Untuk itu, kita perlu menambah bilangan anggota keselamatan di sempadan maritim dan darat, menambah aset kawalan keselamatan dan memantau menggunakan satelit, dron serta kamera litar tertutup.

Pantau dan kesan pelancong asing yang masuk tetapi tidak keluar dari negara. Siasat juga kemungkinan wujud terowong bawah tanah di sempadan Malaysia-Thailand bagi penyeludupan PATI.

Kemasukan PATI pada mulanya tidak menimbulkan banyak masalah besar.

Namun, apabila mereka melakukan jenayah berat seperti merompak dan membunuh, maka mereka menjadi ancaman besar kepada rakyat tempatan dan perlu dibanteras.

Jika kita asyik melakukan serbuan dan penangkapan PATI, lalu menghantar mereka ke pusat tahanan, lama-kelamaan pusat tahanan akan menjadi penuh sesak dengan PATI dan kita perlu menambah lagi pusat tahanan yang baharu.

Tambahan lagi, kita perlu menyediakan makanan, minuman, bekalan air dan elektrik serta keperluan lain. Ini akan menambahkan kos kepada kerajaan, lebih-lebih lagi dalam menghadapi krisis tenaga global sekarang.

Justeru, adalah lebih baik dihalang kemasukan PATI daripada menahan mereka di pusat tahanan. Ayuh, jadikan sempadan negara kedap PATI! – UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×