ARAU: Jerebu yang melanda Malaysia ketika ini dijangka beransur pulih menjelang akhir bulan ini apabila negara mula memasuki fasa peralihan monsun yang mempengaruhi peningkatan hujan serta perubahan arah serta kelajuan angin.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, faktor tersebut membantu mengurangkan kepekatan bahan pencemar di atmosfera, disamping mengurangkan pengangkutan asap rentas sempadan dari Indonesia.
Beliau berkata, berdasarkan tinjauan cuaca jangka panjang Jabatan Meteorologi (METMalaysia) bagi Oktober sehingga Mac 2027, kebanyakan kawasan Malaysia dijangka masih menerima hujan sekitar purata klimatologi sepanjang bulan ini hingga Disember.
Katanya, sebagai contoh, Selangor diramal menerima antara 220 hingga 330 milimeter (mm) hujan bulan ini dan 250 hingga 380 mm pada November.
Ujarnya, Kuala Lumpur pula dijangka menerima antara 240 hingga 360mm hujan pada Oktober dan 300 hingga 450mm pada November.
“Keadaan tersebut memberi petunjuk positif bahawa peningkatan hujan berpotensi membantu memperbaiki kualiti udara di Malaysia. Bagaimanapun pemulihan tersebut tidak semestinya berlaku secara serentak di semua kawasan di negara ini.
“Keadaan jerebu bukan sahaja dipengaruhi oleh hujan yang turun di Malaysia tetapi turut bergantung kepada aktiviti kebakaran, taburan hujan di kawasan sumber pencemaran serta arah pergerakan angin.
“Hujan di negara kita sahaja tidak mencukupi untuk memastikan jerebu rentas sempadan berakhir sekiranya kebakaran masih aktif di kawasan sumber (Indonesia),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norazian memberitahu, berdasarkan analisis Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) bertarikh 13 Oktober lalu, sebahagian kawasan selatan Sumatera, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan masih dijangka menerima hujan rendah iaitu kurang daripada 50mm bagi tempoh 10 hari tertentu sepanjang bulan ini.
Katanya, keadaan tersebut boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut khususnya apabila kawasan tersebut mengalami kekeringan berpanjangan.
“Bagaimanapun, ramalan BMKG itu turut menunjukkan peningkatan hujan di beberapa kawasan Sumatera dan Kalimantan menjelang November dan Disember dengan sebahagian kawasan berpotensi terima hujan melebihi 300mm sebulan.
“Sekiranya hujan secara berterusan dan meliputi kawasan kebakaran, keadaan ini boleh membantu mengurangkan aktiviti kebakaran dan penghasilan asap,” katanya.
Sementara itu, Norazian berkata, risiko jerebu sekiranya bertembung dengan El Nino yang sangat kuat juga perlu diberikan perhatian.
Katanya, fenomena tersebut boleh mengubah corak taburan hujan di rantau Asia Tenggara menyebabkan sesetengah kawasan mengalami pengurangan hujan, peningkatan suhu dan tempoh cuaca kering yang lebih panjang.
“Di negara ini, METMalaysia sebelum ini turut mengunjurkan kemungkinan pengurangan hujan sekitar 20 hingga 40 peratus di Johor dan Melaka semasa Monsun Timur Laut 2026/2027 akibat pengaruh El Nino tersebut.
“Walaupun ramalan terkini masih menunjukkan kebanyakan kawasan di Malaysia berpotensi menerima hujan sepanjang Oktober hingga Disember, kesan El Nino dijangka lebih ketara di beberapa kawasan menjelang awal 2027.
“Bagaimanapun, El Nino tidak bermaksud seluruh Malaysia atau Indonesia akan mengalami kemarau secara serentak. Kesan fenomena ini berbeza mengikut kawasan dan musim.
“Oleh itu, ramalan hujan mengikut wilayah lebih penting untuk menilai risiko jerebu berbanding hanya melihat kekuatan indeks El Nino,” katanya.
Menurut beliau lagi, dalam konteks jerebu, El Nino bukan punca langsung kepada pencemaran udara sebaliknya keadaan panas dan kering itu boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut.
Katanya, kebakaran tanah gambut amat membimbangkan kerana boleh berlarutan dalam tempoh jangka panjang serta menghasilkan asap mengandungi zarah halus yang berbahaya untuk kesihatan.
“Sekiranya kebakaran berskala besar berlaku ketika keadaan atmosfera dan arah angin menggalakkan pengangkutan asap ke Malaysia, risiko episod jerebu lebih serius tidak boleh diketepikan.
“Namun, kita tidak boleh terus menyimpulkan bahawa jerebu kali ini akan menjadi lebih buruk daripada episod 2015 hanya berdasarkan kekuatan El Nino. Tahap keseriusan sebenar masih bergantung kepada keluasan kebakaran, keberkesanan usaha pemadaman serta keadaan meteorologi semasa,” katanya. – UTUSAN











