Polis Thai rampas syabu RM28.95j mahu diseludup ke Malaysia - Utusan Malaysia

Polis Thai rampas syabu RM28.95j mahu diseludup ke Malaysia

LIMA rakyat Malaysia ditahan dalam dua operasi berasingan di Wilayah Prachuap Khiri Khan dan Bangkok bersama 240 kilogram syabu pada Khamis dan Jumaat lalu. – IHSAN ONCB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK (THAILAND): Taktik sindiket dadah menyembunyikan 240 kilogram (kg) syabu bernilai RM28.95 juta di dalam uncang teh Cina untuk diseludup ke negara ini terbongkar selepas pihak berkuasa Thailand menahan lima rakyat Malaysia, minggu lalu.

Penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Bangkok dan Polis Metropolitan 7 susulan siasatan terhadap rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan susulan penahanan dalang sindiket warga Thailand di Wilayah Nonthaburi pada 30 Oktober.

Pengarah ONCB Bangkok, Prinn Mekhanan berkata, sindiket itu dipercayai berada di Malaysia serta menggunakan Thailand sebagai laluan transit untuk membawa dadah dari bahagian tengah negara itu ke Wilayah Songkhla sebelum diseludup menyeberangi sempadan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, Pasukan Operasi 5 ONCB Bangkok yang diketuai Penyiasat Kanan, Peerawit Sodsiri ditugaskan menjalankan risikan susulan siasatan yang diperluaskan terhadap sindiket dadah rentas negara yang dikaitkan dengan warga Malaysia di Thailand.

Menurutnya, pasukan berkenaan mengesan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah di Jalan Rama 2 (Lebuhraya 35) yang menuju ke selatan sebelum memintas sebuah daripadanya di sebuah stesen minyak di Daerah Sam Roi Yot, Wilayah Prachuap Khiri Khan kira-kira pukul 9 pagi, Khamis lalu.

“Sebuah lagi MPV dipintas di persimpangan Daerah Pranburi di wilayah sama. Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan itu menemukan 240 kg syabu yang disimpan dalam uncang teh Cina dan disembunyikan di dalam ruang khas yang diubah suai menyerupai sistem audio.

“Dua rakyat Malaysia yang menaiki MPV pertama ialah Tan Teck Chun, 37, dan Lim Kian Hui, 40, manakala Ung Yan Chun, 28, bersama seorang wanita Thailand, Namthip Chueathong, 24, berada dalam MPV kedua. Mereka kemudian ditahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Prinn berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku diupah ketua sindiket dadah di Malaysia untuk menyeludup syabu dari bahagian tengah Thailand ke Wilayah Songkhla sebelum dibawa ke sempadan Thailand-Malaysia.

Katanya, suspek turut mengaku pernah melakukan kegia­tan mengangkut dadah sebanyak dua hingga tiga kali sebelum ini dengan menerima upah antara 500,000 baht (RM60,302) hingga satu juta baht (RM120,605) seorang bagi setiap perjalanan.

“Pasukan penyiasat kemudian memperluaskan siasatan sebelum menahan dua lagi rakyat Malaysia, Ban Jae-see, 40, dan Ong Teng Jun, 40, serta seorang wanita Thailand, Chawalrat Kongyinghan, 25, dalam dua operasi berasingan di Bangkok pada Jumaat,” katanya.

Menurutnya, nilai dadah yang dirampas itu boleh mencecah sehingga 240 juta baht atau RM28.95 juta sekiranya berjaya dibawa keluar dari Thailand.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi secara terancang dan sistematik dengan menggunakan aplikasi WeChat serta Telegram untuk berkomunikasi, selain membuat pembayaran dalam mata wang ringgit dan menyediakan dana khas bagi menyokong operasi mereka di Thailand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini