Thailand rampas 300kg syabu cuba seludup ke negara jiran

Thailand rampas 300kg syabu cuba seludup ke negara jiran

PIHAK berkuasa Thailand merampas 300 kilogram yang diseludup ke Selatan Thai sebelum dibawa ke negara jiran di sebuah stesen minyak di Bangkok. – IHSAN ONCB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan enam individu sekali gus menggagalkan cubaan menyeludup 300 kilogram syabu bernilai 300 juta Bath atau RM4 juta ke negara jiran dalam operasi khas di Daerah Rat Burana, di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pu­kul 4 pagi itu, pihak berkuasa merampas sembilan guni berisi syabu disorok dalam sebuah van yang diubah suai khas bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Setiausaha Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ON­CB), Kolonel Polis Suriya Sing­hakamol berkata, semua sus­pek termasuk seorang wanita berusia antara 25 tahun hingga 56 tahun dan berasal dari tiga daerah di Narathiwat.

“Sindiket terbabit dikesan me­nyamar sebagai pelancong tempatan dengan menggunakan sebuah van yang diubah suai untuk menyembunyikan dadah sebelum dibawa ke Na­rathiwat.

“Bertindak atas maklumat ri­sikan, sepasukan anggota ONCB, polis dan tentera memintas van terbabit di sebuah stesen minyak di Daerah Rat Burana sebelum menemukan sembilan guni mengandungi 300 kilogram sya­bu yang di­sembunyikan di beberapa ruang khas dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil kerjasama ONCB, Bahagian Operasi Khas 191 Polis serta unit perisikan Tentera Darat Thailand selepas menjalankan risikan terhadap beberapa sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan yang aktif di selatan negara itu sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, semua enam suspek yang berasal dari Sungai Golok, Sungai Padi dan Cho Airong kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

“Susulan itu, kita menggempur lima lokasi di Cho Airong, Sungai Padi dan Sungai Golok serta menyita pelbagai aset dipercayai milik sindiket termasuk tanah, bangunan, perniagaan dobi, kenderaan, barang kemas dan barangan berjenama bernilai kira-kira 46 juta baht (RM5.58 juta),” ujarnya.

“Siasatan awal mendapati bekalan dadah itu dipercayai sedang dibawa ke selatan Thailand sebelum diseludup masuk ke negara jiran laluan sempadan,” ujarnya.

Sementara itu, Suriya berkata, polis turut mematahkan satu lagi rangkaian sindiket sama susulan rampasan 79,400 biji pil syabu dan penahanan dua lelaki dalam operasi Polis Peronda Sempadan 44 di Daerah Mueang, Narathiwat, Ahad lalu.

Katanya, kedua-dua suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada sindiket terbabit untuk dijual kepada penagih tempatan selain diseludup ke negara jiran melalui daerah Tak Bai dan Sungai Golok di sempadan Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN